Karate: Mohd Hatta Yakin Pertahan Emas Kumite Di Indonesia - Bola Sepak | mStar

Karate: Mohd Hatta Yakin Pertahan Emas Kumite Di Indonesia

Diterbitkan: Khamis, 1 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet karate kebangsaan, Mohd Hatta Mahamut yang menyumbang satu emas dari temasya di Laos, dua tahun lepas yakin untuk mempertahankan emas itu pada Sukan SEA di Indonesia, November ini.

Keyakinan itu berdasarkan kejayaannya meraih pingat emas di kejohanan lebih tinggi tarafnya, Kejohanan Karate Asia ke-10 di Guangzhou, China yang berlangsung dari 16-25 Julai.

Pada Sukan SEA di Viantienne, Laos, 2009, Mohd Hatta, 25, menewaskan Hendro Salim dari Indonesia pada perlawanan akhir untuk mengungguli emas bagi acara Kumite Individu Lelaki kategori bawah 84kg. "Ini merupakan penyertaan kedua saya ke Sukan SEA dalam acara individu dan diharap akan membuahkan hasil seperti dua tahun lepas. Saya mengorbankan banyak masa untuk menghadiri latihan dan menyertai pertandingan.

"Namun bagi acara berpasukan, kita juga mengharapkan akan membawa pulang emas pada edisi tahun ini," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Anak kelahiran Parit Buntar itu berkata saingan sengit dalam kejohanan dwi-tahunan itu pastinya tertumpu ke arah pasukan tuan rumah, Indonesia.

"Saya rasa pasukan yang menyerlah bagi edisi kali ini ialah pasukan tuan rumah yang pastinya akan memberikan saingan hebat.

"Ini sukan kombat. Kita perlu konsentrasi, mental dan fizikal dan sentiasa fokus kepada lawan," katanya yang telah mewakili negara sejak lima tahun lepas.

Mengenai kecederaan lutut yang dialaminya ketika Kejohanan Karate Asia di China Mohd Hatta berharap kecederaan itu segera sembuh dan tidak mengganggu persembahannya di Indonesia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan