Aksi Pasukan Kolej Eton Bertemu Pasukan Remaja Negara

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdul Fahad Mu'adzam Sultan Ahmad Shah bersama 19 lagi pemain bola sepak pasukan Kolej Eton, England tiba di sini Isnin untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan bola sepak remaja Malaysia dan pasukan bola sepak remaja Pahang semasa jelajah 14 hari di negara ini.

Sultan Ahmad Shah ialah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jurulatih pasukan bola sepak Kolej Eton, Andy Jenning berkata pasukannya dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan bola sepak remaja Malaysia (Bawah 16 dan Bawah 17 tahun) dan pasukan bola sepak remaja Pahang (Bawah 17 dan Bawah 18).

"Perlawanan persahabatan menentang pasukan remaja kebangsaan Malaysia dan Pahang akan menjadi latihan pramusim yang baik bagi kolej ini memandangkan Kolej Eton berhasrat menjadi juara kejohanan Boodles-ISFA (Independent Schools Football Association) pada musim depan," katanya kepada pemberita di sini.

ISFA, menganjurkan perlawanan Boodles-SFA Cup, satu perlawanan kalah mati dalam kalangan anggota ISFA.

Ketibaan pasukan bola sepak di hotel penginapan mereka di sini disambut Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom, Naib Presiden FAM Datuk Subahan Kamal dan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

Tengku Abdul Fahad, 17, berkata beliau sangat gembira berpeluang kembali ke negara ini dan bakal beraksi menentang pasukan bola sepak remaja Malaysia dan Pahang.

"Kami mengharapkan keputusan baik dan memberikan persembahan yang baik sebagai persediaan untuk musim ISFA 2011-2012," kata beliau.

Pasukan bola sepak Kolej Eton akan mengadakan empat perlawanan persahabatan iaitu dua perlawanan menentang pasukan Bawah 16 tahun dan 17 tahun di padang Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan dua perlawanan menentang pasukan Bawah 17 tahun dan 18 tahun di Kuantan.

Jadual: 26 Ogos - Malaysia U-16 mln Koleh Eton (1630) Stadium MBPJ,Petaling Jaya

28 Ogos - Malaysia U-17 mln Kolej Eton (1630) Stadium MBPJ,Petaling Jaya

1 Sept - Pahang U-17 mln Kolej Eton (1630) Kuantan,Pahang

2 Sept - Pahang U-18 mln Kolej Eton (1630) Kuantan,Pahang.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan