T'Team Dibarisi Penyerang Berbisa Hadapi Piala Malaysia - Bola Sepak | mStar

T'Team Dibarisi Penyerang Berbisa Hadapi Piala Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 6 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: T'Team dijangka membariskan beberapa penyerang berbisa bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula 6 September ini.

Jurulatih pasukan itu, Yunus Alif mempertaruhkan harapan membawa pulang piala berprestij tersebut tahun ini di bahu penjaring terbanyak Liga Perdana iaitu Mohd Fitri Omar dari MP Muar FC, serta Mohamad Nor Farhan Mohamad dan Indra Putra Mahayudin.

Beliau berkata percaturan menggabungkan ketiga-tiga pemain diharap mampu melahirkan barisan penyerang yang mantap dan berbisa.

"Kita yakin pasukan T'Team akan lebih menyengat dan disegani lawan dengan adanya barisan penyerang ini," katanya kepada Bernama.

Yunus juga berkata beliau yakin pasukan berstatus kelab yang dibarisi pemain berpengalaman itu mampu pergi lebih jauh dalam pertandingan Piala Malaysia musim ini.

Perlawanan bagi Piala Malaysia diundi semalam dan T'Team ditempatkan dalam kumpulan D bersama pasukan Selangor, Kuala Lumpur serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yunus berkata T'Team berazam membawa pulang Piala Malaysia dan bagi mencapai sasaran itu, mereka terpaksa menggunakan khidmat beberapa pemain luar bagi memantapkan lagi pasukan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata T'Team terpaksa bekerja keras untuk mencapai matlamat itu kerana keupayaan pasukan yang bertanding tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, T'Team membuat persediaan bagi menghadapi kejohanan berprestij itu sebaik sahaja pertandingan Liga Super berakhir.

Beliau berkata beberapa perlawanan persahabatan juga diatur di Selangor bagi menguji keupayaan pemain dan pasukan T'Team selepas Aidilfitri.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan