Pengalaman Baru Untuk Skuad Pilihan Malaysia: Kim Swee

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan pilihan Malaysia, Ong Kim Swee menganggap aksi menentang pasukan Kelab Perdana Inggeris (EPL), Chelsea sebagai pengalaman baru kepada pasukannya pada perlawanan persahabatan sempena Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Kim Swee yang juga merupakan ketua jurulatih skuad Olimpik berkata, seramai sembilan pemain senior dipilih menyertai perlawanan ini dan selebihnya adalah skuad muda negara.

"Ini adalah peluang untuk pemain-pemain muda beraksi menentang kelab terkemuka dan dalam masa ia juga mampu memberi kepercayaan kepada pemain-pemain senior untuk mempamerkan aksi terbaik sekali gus meraih kembali kedudukan dalam skuad kebangsaan.

"Mereka telah menjalankan latihan selama seminggu dan di situ saya dapat lihat persefahaman dan kerjasama yang diberikan oleh skuad pilihan ini.

"Pemain-pemain senior juga turut memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.

"Saya turut menyenaraikan Hairuddin Omar serta Thamil Arasu dan saya anggap ia satu pilihan tepat pada aksi perlawanan ini," katanya selepas sidang media bersama Chelsea, Isnin.

Sementara itu, Kim Swee berkata, skuad Harimau Muda bakal berangkat ke Slovakia pada 22 Julai ini bagi persiapan Kelayakan Olimpik pusingan kedua tidak lama lagi.

"Di Slovakia, mereka bakal berhadapan dengan enam perlawanan termasuk lima perlawanan menentang kelab dan satu lagi perlawanan pasukan antarabangsa," katanya.

Selain itu, pengurus Chelsea, Andres Villas-Boas berkata, Jelajah Asia ini penting bagi mengukuhkan sokongan penyokong-penyokong dari Asia.

"Mereka telah memberi sokongan penuh kepada kami, dan pastinya kami akan memberi persembahan terbaik pada perlawanan ini.

"Kali terakhir pasukan Chelsea datang ke sini ialah pada tahun 2008, dan kami mengharapkan sokongan penuh dari semua peminat-peminat di sini.

"Manakala pemain-pemain saya juga sudah bersedia untuk memberi aksi dan ia dianggap persediaan menjelang musim baru Ogos ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan