Malaysia Tampil Aksi Terpuji Walaupun Tewas

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal menandingi kehebatan pasukan ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, apabila tumpas 3-6 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Walaupun kalah, skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal menampilkan aksi terpuji dengan mengekang gerakan Liverpool pada babak pertama dengan keputusan 1-1.

Kekalahan 0-4 kepada Arsenal di gelanggang sama tiga hari lalu tidak mematahkan semangat pemain negara untuk memburu kejutan dengan pasukan gergasi EPL itu.

Gol Malaysia dijaringkan menerusi sepakan percuma ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-42 dan dua jaringan Safee Sali pada babak kedua perlawanan iaitu minit ke-79 dan 81.

Liverpool, yang dikenali sebagai 'The Reds' mula mengasak sejurus wisel permulaan ditiupkan oleh pengadil Nagor Amir Noor Mohamed dan gerakan lincah pemain tengah England, Andy Carroll membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh Mohammad Fadhli Mohd Shas.

Charlie Adam yang membuat penampilan pertama bersama Liverpool musim ini mengambil tugas itu dan mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol negara Mohd Sharbinee Allawee, dengan disambut sorakan lebih 80,000 peminat setia skuad itu.

Sepanjang 30 minit pertama perlawanan penjaga gol Liverpool tidak langsung dicabar dan bagi skuad negara hanya S. Kunalan, Safiq Rahim dan Abdul Hadi Yahaya yang dilihat mampu memberi sedikit resah kepada pasukan pertahanan lawan.

Penguasaan penuh Liverpool dalam perlawanan memaksa Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan Izzaq Faris Ramlan menggantikan Abdul Hadi yang kurang bermaya dan tindakan itu sedikit sebanyak membantu skuad negara.

Pergerakan dan larian lincah gandingan tiga pemain itu di sebelah kiri dan bahagian hadapan memberi sedikit tekanan kepada pemain pertahanan Liverpool dan hasilnya Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Safiq Rahim.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia membuat beberapa pertukaran di bahagian pertahanan serta memasukkan penjaga gol utama Khairul Fahmi Che Mat dan pasukan Liverpool dilihat turut membuat keseluruhan pertukaran serta menukar penjaga gol Peter Gulacsi bagi memperkuatkan barisan masing-masing.

Dalam keghairahan memburu gol, benteng pertahanan negara dilihat sedikit leka malah kerap membuat kesilapan mudah dan hampir dihukum namun percubaan David Ngog yang membuat larian deras hasil hantaran dari tengah padang sedikit melewati tiang gol pada minit ke-50.

Selain penguasaan di bahagian hadapan yang menyeluruh larian deras Ngog di bahagian sayap kanan sering kali mengundang situasi mencemaskan kepada benteng pertahanan Malaysia dan tindakan bijaknya menerima hantaran lintang rakannya Emiliano Insua membuahkan gol kedua akibat berpunca daripada kesilapan tiga pemain pertahanan yang gagal membuang bola.

Selang kurang seminit kemudian Ngog sekali lagi menjaringkan gol hasil larian derasnya dan merembat di garisan kotak penalti untuk menghasilkan gol ketiga buat kelab itu.

Dua gol tersebut dalam babak kedua memberikan tekanan buat pasukan negara dan mula mengatur serangan namun kealpaan dan kegugupan barisan pertahanan yang hanya membiarkan pemain Liverpool, Insua bertukar hantaran di luar kotak penalti membawa padah apabila penyerang berasal dari Argentina, Maxi Rodriguez mengambil peluang pantas merembat kencang untuk gol keempat pada minit ke-74.

Percaturan Rajagobal menurunkan pemain berbisa negara yang kini mewakili pasukan Pelita Jaya, Indonesia, Safee pada minit ke-60 membuahkan hasil apabila hantaran Mohd Amirulhadi Zainal yang gagal ditepis kemas oleh Peter Gulacsi disudahi oleh Safee yang pantas meluru untuk meledak gol kedua buat negara pada minit ke-79.

Keupayaan Safee terserlah selang dua minit kemudian (min-81) apabila sekali lagi mengurangkan defisit gol buat negara apabila meledak gol ketiga hasil hantaran dari tengah padang.

Malaysia bagaikan terus mempamerkan aksi cemerlang pada babak-babak terakhir dan mendapat beberapa peluang namun penyudahnya dilihat tumpul.

Keghairahan pemain negara membuat serangan membuka ruang buat Liverpool apabila mengambil peluang buat pemain dibawah bimbingan Kenny Dalglish dengan menjaringkan dua lagi gol pada 90 minit, tiga minit masa tambahan menerusi hantaran tinggi cantik Dirt Kuyt dari kiri gawang negara yang disudahkan dengan tandukan kemas Rodriguez dan tendangan kencang oleh Kuyt dalam kotak penalti.

Selepas ini, Malaysia akan memulakan misi menentang Singapura dalam kelayakan kedua Piala Dunia 2014 zon Asia yang di republik itu pada 23 Julai ini.

Ini adalah kunjungan kali pertama pasukan Liverpool itu ke Malaysia dan Kuala Lumpur merupakan persinggahan terakhir The Reds dalam siri Jelajah Asia 2011 setelah memenangi 4-3 menentang Guangdong Sunray Cave di Guangzhou, China Rabu lepas.

Pasukan itu akan pulang ke Eropah untuk perlawanan persahabatan menentang Hull City (23 Julai), Galatasaray (28 Julai), Valerenga (1 Ogos) dan Valencia (6 Ogos).- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan