Malaysia Main Secara Kompetitif, Tidak Gentar:Clarke - Bola Sepak | mStar

Malaysia Main Secara Kompetitif, Tidak Gentar:Clarke

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menampilkan persembahan yang kompetitif dan tidak gentar sama sekali, demikian pandangan penolong jurulatih kelab Liverpool, Steve Clarke.

Katanya Malaysia telah menunjukkan permainan yang mantap pada perlawanan persahabatan dengan kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu.

Livepool, yang dalam siri Jelajah Asia 2011, mengatasi pasukan Harimau Malaya 6-3 pada perlawanan yang disaksi oleh lebih 80,000 penonton di stadium berkenaan.

"Perlawanan ini adalah baik sekali dan menghiburkan. Mereka (Malaysia) bermain dengan baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Sidang media itu turut disertai oleh pemain baru Charlie Adam.

Clarke berkata siri Jelajah Asia itu adalah amat penting bagi semua pemain membuat persediaan menghadapi musim EPL 2011/2012.

Dalam pada itu, Adam, yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-26, berkata beliau gembira dengan jaringan itu dan berharap dapat menyumbang lebih banyak gol untuk pasukan itu pada musim baru EPL.

Sementara itu, jurulatih skuad negara Datuk K.Rajagobal berkata beliau berpuas hati dengan perlawanan itu walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam benteng pertahanan negara.

"Ada peningkatan dalam persembahan pemain dan saya meminta pemain bermain lebih agresif," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak kisah dengan bilangan jaringan pada perlawanan hari ini tetapi apa yang bermain dalam fikirannya ialah perlawanan menentang Singapura pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di republik itu pada 23 Julai ini.

Katanya berikutan perlawanan dengan Liverpool itu, beliau sudah mempunyai idea mengenai barisan pemain pada perlawanan menentang Singapura nanti.

Katanya perlawanan dengan Liverpool merupakan ujian terbaik sebelum menghadapi Singapura.

Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia dengan perturan gol di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4 menentang Taiwan.

Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan pertama di republik itu pada 23 Julai dan perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Julai ini.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan