Maybank Taja 20,000 Tiket Percuma Kepada Lebih 100 Sekolah

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih 100 sekolah di sekitar Lembah Klang dan Selangor akan menerima 20,000 tiket percuma daripada kumpulan Maybank bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Chelsea dan Harimau Muda pada 21 Julai ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Lim Hong Tat berkata tajaan tiket itu bertujuan menggalakan pelajar sekolah terlibat dalam sukan.

Majlis penyerahan tiket itu diadakan di Menara Maybank dan dihadiri 20 wakil pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul dan Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2.

Selain menerima tiket menyaksikan perlawanan itu, mereka turut menerima pas khas sesi latihan pasukan yang juga dikenali sebagai 'The Blues' itu.

"Saya berasa teruja kerana dapat melihat Chelsea beraksi. Bukan senang kelab dari luar untuk datang ke Malaysia dan main perlawanan persahabatan dengan Malaysia," kata pelajar berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2, Hussein Ali Mohd Halimi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Vanesha Ganeson pula begitu teruja untuk melihat pemain-pemain kelab kegemarannya beraksi dan peluang seumpama itu tidak akan dilepaskan.

"Saya sangat gembira dan teruja untuk melihat mereka bermain. Sebelum ini kami hanya melihat mereka di televisyen," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan