Medan Latihan Sebelum Bertemu Singapura - Rajagobal

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rajagobal (kiri) bergambar bersama Wenger, Robin van Persie dan Bacary Sagna (kanan) selepas sidang media pasukan, Isnin. Foto: S.S.KANESAN/THE STAR)
Rajagobal (kiri) bergambar bersama Wenger, Robin van Persie dan Bacary Sagna (kanan) selepas sidang media pasukan, Isnin. Foto: S.S.KANESAN/THE STAR)

SUBANG JAYA: Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk K.Rajagobal menjadikan perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal Rabu ini sebagai medan persiapan pasukannya menghadapi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Singapura tidak lama lagi.

Rajagobal berkata, pasukannya teruja untuk bertemu The Gunners dan mengharapkan barisan pemain-pemainnya mampu memberi aksi yang menarik serta dapat memberikan keputusan yang baik kepada semua peminat-peminat yang datang ke stadium.

“Apa yang lebih menjadi tumpuan skuad saya ialah persiapan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura pada 23 Julai ini.

"Perlawanan ini juga merupakan pengalaman berguna kepada pemain-pemain muda dan saya akan turut menilai prestasi mereka.

"Kami tidak mahu terlalu tertekan, sebaliknya ingin menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan bersedia. Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat juga sudah pulih daripada kecederaan, manakala penyerang, Safee Sali tidak disenaraikan kerana kecederaan,” katanya kepada media pada sidang media bersama pasukan Arsenal di sini, Isnin.

Sementara itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, pasukannya berasa gembira kerana dapat kembali ke Malaysia selepas kali terakhir berkunjung ke sini pada tahun 1999.

“Ini merupakan peluang yang baik pasukan untuk menguji pasukan Malaysia, dan ia juga dianggap sebagai latihan menjelang musim baru EPL nanti.

“Semua pemain juga turut gembira walaupun baru sahaja tiba di sini. Apa yang pasti saya tidak pernah melihat pasukan Malaysia beraksi dan harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan