Rosmah Saran Lebih Banyak Gelanggang Futsal Dibina

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Ahad menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta membina lebih banyak gelanggang futsal terutamanya di kawasan perumahan seluruh negara.

Beliau berkata menerusi pembinaan gelanggang futsal, masalah gejala sosial dapat dibendung secara lebih efektif dan melahirkan golongan belia yang mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya menyedari bahawa sukan futsal amat digemari oleh golongan belia dan beliawanis hari ini, malah saya dimaklumkan walaupun jumlah bilangan gelanggang futsal semakin bertambah namun ia belum mencukupi.

"Ini berasaskan kekerapan tempahan gelanggang yang sentiasa penuh pada hari bekerja, apatah lagi pada hujung minggu ataupun cuti umum. Begitu juga setiap kali diadakan sebarang pertandingan futsal yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada belia," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Futsal 1Giat Mara di sini, Ahad.

Rosmah berkata dengan melakukan aktiviti bersukan seperti futsal, golongan belia dapat mengisi masa lapang dan membina tubuh badan yang sihat serta minda yang cergas.

Kejohanan Futsal 1GiatMara merupakan program yang dirancang sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan GiatMara dengan melibatkan 2,000 penyertaan anggota kerja GiatMara, pasukan Mara Negeri dan Institusi Pendidikan Mara di seluruh negara.

Sehubungan itu, Rosmah berkata penganjuran kejohanan futsal ini dapat dijadikan acara dwi-tahunan dan diperluaskan meliputi komuniti Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sekaligus melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan futsal.

"Temasya sukan sebegini diharap dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan futsal yang mana boleh diketengahkan bukan sahaja di peringkat Mara tetapi sehingga ke peringkat kebangsaan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan