Turki Ancam Untuk Lapor Tindak-Tanduk Chelsea Kepada FIFA

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CHELSEA telah diberi amaran bahawa mereka akan dirujuk kepada badan bolasepak dunia - FIFA - sekiranya mereka meneruskan usaha untuk meminang Guus Hiddink daripada Persekutuan Bolasepak Turki secara tidak sah.

Pemilik The Blues, Roman Abramovich kini difahamkan sedang menyediakan satu pakej tawaran untuk membawa semula jurulatih Belanda itu ke pangkuan Stamford Bridge, yang mana beliau telah menghabiskan masa selama empat bulan sebagai jurulatih sementara pada tahun 2009.

Tetapi Hiddink, 64, kini terikat dengan Persekutuan Bolasepak Turki yang merupakan majikannya sekarang.

Beliau masih mempunyai kontrak selama satu tahun lagi untuk membimbing skuad kebangsaan Turki mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan Negara-Negara Eropah sehingga akhir tahun ini.

"Chelsea memang mempunyai rekod memancing pemain dan pengurus yang masih di dalam kontrak dengan kelab lain. Jadi kami harus berhati-hati," kata Presiden Persekutuan Bolasepak Turki, Mahmut Ozgener.

Katanya, jika perkara ini berlaku kepada Turki, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadu perkara ini kepada FIFA dan menuntut jumlah bayaran yang kami bayar untuk mendapatkan khidmat Hiddink.

Beliau berkata demikian dalam satu temuramah dengan akhbar Turki, Hurriyet.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan