17 Gelanggang Futsal Di Lembah Klang Akan Diserahkan Kepada Persatuan

Diterbitkan: Jumaat, 29 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyerahkan 17 gelanggang futsal di Lembah Klang kepada persatuan yang berkenaan sebelum 15 Mei ini, kata menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sebelum ini KBS tidak dapat menyerahkan kepada persatuan berkenaan dengan lebih awal ekoran masalah bekalan air dan elektrik hingga menyebabkan ia tidak dapat digunakan dan menjadi sasaran vandalisme.

"Jadi sebelum proses penyerahan dilakukan KBS akan memastikan kesemua gelanggang berkenaan dalam keadaan sempurna dan mempunyai bekalan elektrik dan air serta bebas daripada masalah vandalisme," katanya ketika menjawab pertanyaan dalam program Borak-Borak Belia kawasan Titiwangsa, di sini, Jumaat.

Menjawab soalan mengenai bila Parlimen Belia akan diwujudkan, beliau berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan di peringkat Kabinet bagi mencari mekanisme terbaik dalam melaksanakannya.

"Kita memerlukan sedikit masa lagi sebab ia merupakan satu perkara yang besar, kena fikirkan bagaimana kita mahu memilih wakil belia, berapa had umur wakil-wakil berkenaan dan sebagainya.

"Ini penting sebab kita tak mahu ia (Parlimen Belia) ini menjadi satu parlimen yang remeh dan akhirnya tidak mencapai maksud penubuhannya iaitu menjadi suara kepada para belia di Parlimen," katanya.

Mengenai program Borak-Borak Belia, katanya, setakat ini program itu telah diadakan di Setiawangsa dan Ampang dan akan diperluaskan ke kawasan lain dan negeri-negeri lain jika terdapat permintaan daripada golongan belia.

"Saya lebih suka pendekatan sebegini yang lebih santai, tanpa protokol atau kompang sebab dengan cara begini saya akan lebih senang untuk mendekati para belia," katanya.

Program yang dianjurkan oleh Pergerakan Belia 4B kawasan Titiwangsa itu dihadiri kira-kira 300 belia dan persatuan belia dari semua kaum.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan