Wan Jamak Sah Ketua Jurulatih Kedah

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan sah dilantik sebagai ketua jurulatih baru Kedah selepas menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), di sini, Sabtu.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, pemilihan Wan Jamak bagi menggantikan Ahmad Yusof adalah keputusan secara bersama yang dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit dengan arena bola sepak di negeri itu.

"Pihak kami melayani hasrat peminat serta mengambil kira semua pandangan keras dan dibawa masuk ke dalam mesyuarat KFA, kita juga mengambil kira pandangan media serta bekas-bekas pemain Kedah.

"Dalam perbincangan pengurusan pasukan, kita dah menimbang beberapa perkara dan kehebatan Wan Jamak pada masa lampau memberangsangkan, manakala kebanyakan jurulatih lain sudah memenuhi pasukan lain... sebab itulah beliau dipilih," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak berkenaan di Stadium Darul Aman, di sini.

Beliau berkata, KFA juga sudah membatalkan pendaftaran Ahmad Yusof selaku ketua jurulatih Kedah dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jadi tidak akan timbul sebarang masalah teknikal untuk mendaftarkan Wan Jamak selepas ini.

Hamdan berkata, tempoh kontrak Wan Jamak dengan Kedah adalah sehingga hujung musim ini dan sebulan sebelum ia tamat, pihak KFA akan membuat penilaian semula sama ada untuk menyambung khidmat beliau atau sebaliknya.

Sementara itu, Wan Jamak ketika ditemui berkata beliau berhasrat membawa pasukan Kedah pada tahap terbaik dan menetapkan sasaran untuk menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia tahun ini.

"Walaupun pihak pengurusan tidak meletakan harapan yang tinggi iaitu sekurangnya berada dalam empat pasukan teratas (Piala Malaysia), tapi sebagai jurulatih saya berhasrat membawa pasukan Kedah ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Wan Jamak berkata beliau akan memulakan tugas secara rasmi Khamis ini iaitu sehari sebelum pasukan Kedah menentang Perak.

Sebelum ini, pasukan Kedah menghadapi kemelut apabila penyokong pasukan itu mendesak KFA menggugurkan Ahmad dan pengurusnya, Datuk Khazali Din berikutan prestasi hambar dalam Liga Super musim ini, selain tersingkir daripada saingan Piala FA.

KFA yang akur dengan desakan penyokong merehatkan Ahmad sementara waktu dan penolong jurulatih, Radhi Md Din memangku jawatan sebagai ketua jurulatih. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan