Sultan Pahang Cadang Ibu Pejabat AFF Di KL

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang baru, Sultan Ahmad Shah, bercadang untuk membina ibu pejabat AFF di Kuala Lumpur.

Baginda, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan mengutarakan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan meminta sebidang tanah daripada kerajaan untuk tujuan itu.

"Namun saya akan mendapatkan persetujuan ahli jawatankuasa AFF sebelum menulis surat kepada Perdana Menteri kerana ia adalah hasrat saya selepas dilantik sebagai Presiden AFF.

"Bagi saya, Najib adalah seorang yang sangat memahami dan pasti beliau akan menyokong hal yang berkaitan sukan," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini hari ini.

Sultan Ahmad Shah bertitah, ketika menjadi Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan pembinaan bangunan AFC.

"Bagi bangunan AFF ini, saya akan mendapatkan bantuan daripada FIFA dan pada masa sama, AFF pasti mempunyai peruntukan sendiri, jadi kita tidak mahu menyusahkan kerajaan pusat atau kerajaan Pahang.

"Untuk itu, saya akan usahakan sendiri termasuk akan pergi ke Zurich untuk berjumpa dengan Presiden FIFA, Sepp Blatter," titah baginda.

Mengulas mengenai pemilihan baginda sebagai Presiden AFF yang baru, Sultan Ahmad Ahad bersyukur kerana ahli gabungan AFF sebulat suara membuat pemilihan itu.

Baginda menggantikan Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang menerajui AFF sejak 1995.

"InsyaAllah salah satu hasrat saya adalah untuk bawa sukan bola sepak AFF ke taraf lebih tinggi dan meningkatkan mutu bola sepak di Asia Tenggara dan Asia," titah baginda.

Selain Malaysia, AFF yang ditubuhkan pada 31 Jan 1984, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan