Presiden FAM Hasrat Bawa Bola Sepak Asean Ke Peringkat Lebih Tinggi

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah pada Isnin menyuarakan hasratnya untuk membawa sukan bola sepak Asean ke peringkat lebih tinggi, menjadikan ia sebagai rantau bola sepak yang disegani dan pesaing utama dalam Piala Dunia.

Beliau berkata dalam usaha menjayakan hasrat itu negara-negara Asean perlu bersatu terlebih dahulu untuk muncul sebagai satu barisan yang kukuh dan disegani di peringkat dunia dan serantau.

"Saya berada di depan anda hari ini sebagai penyokong kepada semangat 1Asean, saya merayu kepada anda semua sebagai anggota sebuah keluarga dalam arena bola sepak, untuk menyalakan obor perpaduan Asean," katanya dalam amanat beliau kepada semua anggota Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), yang dipaparkan di laman web FAM pada Isnin.

Katanya bola sepak menyatukan semua, dan inilah perkara pertama yang hendak dilaksanakannya dalam AFF, namun beliau mengakui tidak dapat melaksanakannya secara bersendirian diri tanpa sokongan semua pihak.

Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand Datuk Worawi Makudi, merupakan dua calon bagi merebut jawatan Presiden AFF di perhimpunan agung AFF di Bangkok Thailand pada 10 April ini.

Presiden semasa AFF ialah Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen yang menerajui pertubuhan itu sejak 1995.

Berhubung pencalonannya, Sultan Ahmad Shah berkara "Saya sedia berhadapan sengan setiap cabaran yang dibawa kepada AFF.

"Saya sudah bertekad dengan sepenuh hati, dan bersedia menghadapinya. Bola sepak bagaikan darah yang mengalir dalam tubuh badan ini, semangat inilah yang membolehkan saya terus berada dalah kancah arena bola sepak sehingga hari ini.

"Itulah bola sepak, sentiasa menuntut yang terbaik daripada pemimpinnya," katanya.

Sultan Ahmad Shah berkata beliau mempunyai beberapa idea dalam usaha membolehkan AFF mula membantu kalangan negara anggota antara satu sama lain, untuk membangun menjadi negara bola sepak yang disegani.

AFF ditubuhkan pada 31 Januari 1984 dengan negara anggota terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan