FAM Timbang Hantar Skuad Bola Sepak Wanita Ke Indonesia

Diterbitkan: Khamis, 24 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun merasa berat hati, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan tetap menimbang kewajaran menghantar skuad bola sepak wanita negara yang tidak seberapa prestasi mereka ke Sukan SEA ke-26 di Indonesia November ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata selain faktor ketidaksediaan skuad bola sepak tersebut untuk beraksi dalam kejohanan besar, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga sebelum ini telah memaklumkan mengenai langkah Indonesia untuk menggugurkan acara tersebut pada kejohanan kali ini.

Skuad bola sepak wanita negara sering menjadi pasukan belasahan yang pada Sukan SEA Laos 2009 misalnya, mereka dimalukan oleh Thailand 14-0 dan Vietnam 8-0.

Sejak itu FAM dikatakan telah menggantung penyertaan skuad tersebut daripada sebarang kejohanan antarabangsa.

"MOM bagaimanapun dikatakan akan merayu agar Indonesia mempertandingkan kembali acara tersebut. Sekiranya acara bola sepak wanita kembali diadakan, FAM sedia mempertimbangkan untuk menghantar skuad bola sepak wanita ke kejohanan itu," kata Azzuddin, Rabu.

Indonesia dijangka mengumumkan senarai muktamad acara yang akan ditawarkan semasa mesyuarat Persekutuan Sukan SEA di Bali Jumaat ini.

MOM dengan sokongan Laos dan Thailand dijangka akan mencadangkan kepada Indonesia untuk memasukkan kembali acara tersebut.

Azzuddin turut menjelaskan FAM tidak pernah menggantung skuad bola sepak wanita negara tetapi mahu membentuk skuad yang benar-benar mantap terlebih dahulu sebelum dihantar menyertai sesuatu kejohanan.

"Laporan media yang menyebut FAM menggantung skuad bola sepak wanita kebangsaan daripada menyertai kejohanan luar negara adalah tidak tepat kerana kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian," ujarnya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan