Perlawanan Yang Dinanti-nantikan Malam Ini: Manu Lwn Man City

Diterbitkan: Sabtu, 12 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MINGGU ini Liga Perdana Barclays menyajikan pertembungan yang sejak sekian lamanya menjadi perbualan hangat peminat kedua-dua belah pasukan. Lebih-lebih lagi dengan perbezaan hanya enam mata yang memisahkan kedua-dua pasukan ini, pertembungan pasukan sekampung ini sememangnya membawa signifikan yang amat ketara.

Pertembungan antara Manchester United dan jiran tetangga mereka, Manchester City lebih penting kepada Manchester United kerana ia adalah titik permulaan kepada pertemuan-pertemuan penting menentang kelab-kelab pada kedudukan enam teratas (Chelsea 1 Mac diikuti Liverpool 6 Mac). Dengan jurang perbezaan mata yang amat kecil di antara enam kelab teratas ini, pertemuan-pertemuan tersebut bakal menjadi penentuan kepada sama ada hasrat Manchester United untuk merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Barclays pada musim ini akan berhasil ataupun tidak.

Bagi Manchester City pula, pertembungan ini lebih kepada usaha kelab tersebut untuk keluar dari bayang-bayang kejayaan kelab jiran mereka, Manchester United yang berdekad lamanya terus menguasai takhta liga perdana. Selain itu, jika mereka berjaya merampas tiga mata penuh di Old Trafford ia akan merapatkan jurang perbezaan mata mereka dengan Manchester United kepada hanya tiga mata sahaja - sekaligus mencerahkan lagi harapan mereka untuk mengimpikan kejuaraan Liga Perdana Barclays.

Pertembungan di antara kedua-dua kelab ini juga sentiasa meninggalkan kesan khususnya kepada para peminat tegarnya. Namun pertembungan malam ini lebih besar maknanya kepada Manchester United kerana setelah kehilangan rekod tanpa kalah mereka kepada Wolverhampton Wanderers, kelab yang menduduki tangga terbawah liga minggu lalu, mereka perlu segera bangkit untuk mengembalikan momentum kemenangan demi menempuh baki perlawanan lebih mencabar musim ini.

Kekalahan kepada Wolverhampton minggu lalu nyata sekali menunjukkan kelemahan benteng pertahanan Manchester United apabila bertandang ke gelanggang lawan musim ini. (ini boleh kita lihat melalui statistik perlawanan dimana sepanjang musim ini selepas mengharungi 12 perlawanan di gelanggang lawan, Manchester United hanya mampu menang tiga, seri lapan dan kalah satu). Statistik ini amat membimbangkan kerana dari baki keseluruhan perlawanan Liga Perdana Barclays bagi Manchester United, lapan dari 13 baki perlawanan tersebut adalah pertembungan di gelanggang lawan.

Maknanya, jika Manchester United masih menyimpan hasrat untuk merebut kejuaraan liga musim ini, mereka tiada pilihan selain dari memenangi kesemua perlawanan di tempat sendiri yang mana mereka mempunyai rekod yang amat baik. (dari jumlah 13 perlawanan di tempat sendiri, Manchester United berjaya memenangi 12 daripadanya dan seri sekali dengan membolosi gawang lawan dengan 37 gol dan hanya dibolosi lapan kali).

Manakala bagi Manchester City pula, mereka memiliki rekod bertandang di tempat yang jauh lebih baik dari Manchester United. (dari jumlah 13 pertemuan di tempat lawan, mereka berjaya menang enam kali, seri empat kali dan hanya tewas sekali dengan jumlah perbezaan jaringan yang agak besar. Mereka juga berjaya mencuri satu mata dari kelompok enam kelab teratas semasa bertandang ke White Hart Lane ketika bertemu Tottenham Hotspurs dan The Emirates ketika bertemu Arsenal.

Melihat kepada sasaran empat tempat teratas liga dengan kelayakan ke dalam Liga Juara-juara Eropah yang telah ditetapkan oleh pemilik kelab ini ke atas pengurus mereka, Roberto Mancini dengan pengalamannya mengendalikan kelab-kelab Serie A, maka tidak hairanlah jika beliau meletakkan Carlos Tevez sebagai penyerang tunggal dengan lima pemain tengah dan bergantung sepenuhnya kepada serangan balas yang pantas dengan hantaran jauh serta lintang bagi mengekang gerakan tengah Manchester United dan mengambil kesempatan semasa kealpaan Manchester United ghairah menyerang.

Pertemuan kali ini juga melihat kepada pertembungan dua penjaring gol terbanyak liga setakat ini dengan Dimitar Berbatov menyumbang 19 gol manakala Carlos Tevez menyumbat 18 gol apatah lagi kepada Tevez yang akan berhadapan dengan bekas kelabnya sendiri. Namun apa yang merunsingkan adalah kehilangan gandingan pertahanan Vidic- Ferdinand yang mungkin akan sekali lagi melemahkan barisan benteng Manchester United.

Kecederaan yang dialami Ferdinand semasa sesi memanaskan badan di Moulineux minggu lalu dilihat sebagai antara penyebab kekalahan mereka kepada Wolverhampton. Kemasukan Johnny Evans gagal meredakan asakan demi asakan Wolverhampton khususnya semasa "set pieces" dilakukan. (untuk makluman, musim ini Manchester United memiliki rekod kelemahan mempertahankan "set pieces").

Mungkin untuk pertembungan kali ini, Sir Alex Ferguson patut memberikan laluan kepada Chris Smalling membuktikan kemampuannya berganding dengan Nemanja Vidic. Dengan pengalaman yang beliau timba semasa di Fulham mungkin dapat membantu Manchester United mengekang sebarang asakan dari barisan serangan Manchester City.

Bagaimanapun, penulis meramalkan kemenangan berpihak kepada Manchester United dengan jaringan -0, dengan syarat Manchester United perlu memanfaatkan peluang di hadapan gol dan tidak mensia-siakan sebarang peluang keemasan seperti semasa perlawanan menentang Wolverhampton. Untuk itu mereka mungkin terpaksa menurunkan Chicarito yang mempunyai rating yang baik menghasilkan jaringan dalam percubaan pertama atau peluang keemasan.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan