FAM Cadang Tambah Geran Tahunan Kepada Pasukan Liga Super

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang untuk menambah pemberian geran tahunan kepada pasukan Liga Super yang layak, daripada RM300,000 ketika ini kepada jumlah yang lebih besar.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata pemberian tambahan itu akan dinilai berdasarkan kepada merit pasukan dan prestasi mereka dalam kejohanan liga yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata keputusan mengenai jumlah dan kadar pemberian itu akan dibuat setelah jawatankuasa kewangan dan pengurusan FAM mengadakan mesyuarat minggu depan.

"FAM mempunyai komitmen untuk membantu negeri dalam aspek kewangan dan kami minta supaya semua pasukan berkenaan bersabar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Presiden Kafa dengan kakitangan, pegawai pasukan dan pemain di sini, Khamis.

Katanya amat perlu bagi persatuan bola sepak negeri mendapat peruntukan lebih besar memandangkan sumber kewangan yang diperolehi oleh pasukan itu kini amat terhad.

Menyentuh mengenai beberapa bekas pemain Kelantan yang dikatakan tidak diberikan bonus terhadap kemenangan pasukan itu menjuarai Piala Malaysia musim lalu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) berkata pemberian bonus adalah berdasarkan kepada komitmen pemain yang hanya ingin kekal dengan pasukan Kelantan sehingga tempoh kontrak berakhir.

"Kalau dia berhenti atau keluar sebelum tempoh kontrak tamat, bonus tidak akan diberi," katanya.

Mengenai RM200,000 insentif kewangan kerajaan negeri yang dilaporkan tidak sampai ke tangan sesetengah pemain, beliau berkata perkara itu tidak terikat dengan Kafa dan persatuan itu tidak terlibat dengan pemberian wang itu.

"Kerajaan negeri memberi secara langsung kepada pemain," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan