Safee Ikat kontrak Setahun Bersama Pelita Jaya FC

Diterbitkan: Selasa, 8 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Safee memperkenalkan jersi kelab barunya, Pelita Jaya FC. Foto THE STAR/UU BAN
Safee memperkenalkan jersi kelab barunya, Pelita Jaya FC. Foto THE STAR/UU BAN

PETALING JAYA:Penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali mengesahkan pada Isnin bahawa dia akan menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan Super Liga Indonesia, Pelita Jaya FC (PJFC).

Pemain berusia 27 tahun itu akan memeterai perjanjian dengan kelab Indonesia tersebut di Karawang, Jawa Barat pada Isnin.

"Ia keputusan besar dan ini masa yang tepat. Saya pernah bercita-cita untuk beraksi bersama kelab bola sepak profesional negara lain. Saya percaya saya tidak akan mendapat peluang lain jika saya menolak tawaran ini," kata Safee dalam sidang media di pejabat Yayasan FAS di Kelana Jaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad terlebih dahulu membuat pengumuman secara rasmi berhubung perpindahan Safee.

"Kami memutuskan untuk melepaskan Safee dan merealisasikan impiannya. Dia mahu pergi dan tidak guna jika kami terus menghalangnya," kata Mokhtar.

Safee dianggarkan bakal menerima pendapatan sekiar RM30,360 sebulan manakala FAS akan menerima RM91,080 daripada PJFC sebagai pampasan kerana penyerang itu masih ada kontrak yang hanya akan berakhir Disember ini.

Penyerang sensasi itu terus menjadi buruan kelab lain selepas mempamerkan persembahan bertenaga pada kejuaraan Piala Suzuki AFF, Disember lalu. Dia menjaringkan lima gol untuk membantu Malaysia menjulang trofi terulung itu.

Selain PJFC, dua lagi kelab Indonesia, Persib Bandung dan Balik Papan turut berminat untuk mendapatkan khidmat Safee.

Safee berkata beliau akan menyarung jersi No.10 bersama pasukan barunya kelak.

Beliau turut menyarung jersi No.10 bersama Selangor dan skuad kebangsaan sejak 2007.

"Ia sebagai penghargaan kepada legenda negara, Mokhtar Dahari yang menjaringkan gol terbanyak sekitar era 70-an dan 80-an. Saya meminta untuk menyarung jersi No.10 dan PJFC bersetuju dengan pemintaan saya itu," kata Safee.

Sementara itu, jurulatih Selangor K.Devan mengucapkan selamat maju jaya kepada Safee.

Devan berkata, beliau berbangga kerana melihat salah seorang pemainnya beraksi bersama kelab luar.

"Tindakan Safee akan menyuntik semangat pemain lain mengikut jejak langkahnya dan mencipta nama untuk diri sendiri. Ia antara sikap yang perlu ada dalam diri pemain profesional.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan ada beberapa pemain Selangor lain turut menerima tawaran dari kelab Indonesia tetapi mereka belum bersedia melepaskan pemergian pemain itu.

"Mungkin bila tiba masa yang sesuai kelak, kami akan membenarkan mereka mencuba nasib di Indonesia. Kami juga perlu menumpukan perhatian terhadap saingan liga sendiri," kata Hamidin.

Safee memulakan karier bersama Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Sarawak. Namun, beliau mula mencipta nama bersama Selangor dengan memenangi pelbagai kejuaraan kecuali Piala Malaysia.

Beliau akan beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Selangor ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Safee juga dijadualkan beraksi bersama skuad kebangsaan menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, hari ini (8.45 malam).

Jurulatih kebangsaan K. Rajagopal akan kehilangan enam pemain utama menjelang perlawanan persahabatan itu ekoran kecederaan dan urusan peribadi.

S. Chanturu, Izzaq Faris Ramlan, Azmi Muslim (hamstring), Norsharul Idlan Talaha (lutut) dan Amar Rohidan (demam campak) diketepikan akibat kecederaan manakala penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee mahu menemani isterinya bagi menyambut kelahiran bayi pertama mereka.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan