Ancelotti Pertahan Aksi Hambar Torres

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Carlo Ancelotti mengakui Fernando Torres (gambar) menampilkan persembahan sulung terbaik meskipun Chelsea tewas 0-1 kepada bekas kelabnya, Liverpool di Stamford Bridge pada Ahad.

Torres sentiasa menjadi bualan hangat peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan sengit itu ekoran rekod perpindahan Britain dari Anfield.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila percubaannya dari jarak jauh tersasar dan beliau digantikan oleh Salomon Kalou selepas minit ke-68.

"Torres bukan masalah utama kerana dia bermain dengan baik. Kami gagal mencuri ruang di bahagian hadapan memandangkan Liverpool bertahan dengan cemerlang.

"Dia (Torres) cuba untuk melakukan sesuatu, menggunakan pergerakannya dan dia beraksi dengan baik. Saya mengeluarkannya kerana dia perlu diturunkan pada perlawanan akan datang," kata Ancelotti.

Menurut Ancelotti, Torres mempunyai banyak pengalaman dan keyakinan tinggi serta tidak menunjukkan sebarang masalah sebelum perlawanan itu.

"Dia begitu teruja untuk beraksi. Kami perlu memberikan beliau masa untuk menyesuaikan diri tetapi saya yakin dia akan menemui rentak permainannya dengan segera," tambah bekas pengurus AC Milan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan