Skuad Bola Sepak Malaysia Dapat Pujian Ramai Pihak

Diterbitkan: Khamis, 30 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pendakian Malaysia ke puncak kejayaan dalam arena bola sepak antarabangsa diperkukuhkan lagi apabila pasukan negara yang dibarisi pemain muda berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 di gelanggang lawan di Jakarta malam tadi.

Walaupun bermain dihadapan lebih 80,000 penyokong fanatik Indonesia, para pemain Malaysia bukan sahaja kelihatan tenang malah membuka jaringan untuk mendahului Indonesia 1-0 pada minit ke-53 oleh penyerang Mohd Safee Mohd Sali, iaitu gol yang berjaya mematahkan semangat pemain Indonesia dan seterusnya membawa Malaysia menjuarai kejohanan.

Walaupun kalah 1-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi, Malaysia tetap muncul juara dengan agregat 4-2. Ia sebelum ini menumpaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Disember lepas.

Yang lebih membanggakan Malaysia ialah keseluruhan pemain pasukan negara terdiri daripada anak watan sedangkan Indonesia mempunyai beberapa pemain "naturalisasi" iaitu pemain yang dimport dan diberikan kerakyatan Indonesia.

Skuad Indonesia turut diasuh jurulatih asing. Semangat juang pemain Malaysia, azam dan tekad mereka untuk menang, kemahuan untuk membuat suatu perbezaan dan bersemangat patriotisme, itulah ramuan kejayaan yang membanggakan negara yang disumbangkan oleh pemain Malaysia.

Perkara ini disetujui oleh pengurus pasukan Malaysia Datuk Subahan Kamal dan jurulatih kebangsaan K. Rajagobal ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Soekarno Hatta di sini sejurus sebelum mereka berlepas pulang ke tanah air bersama Piala AFF.

Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana Malaysia yang tewas 1-5 di tangan Indonesia pada peringkat kumpulan kejohanan telah berjaya bangkit dan meningkatkan mutu permainan sehingga bergelar juara malam tadi.

"Memang ada dalam diri para pemain kita kualiti semangat juang. Mereka mempunyai tekad dan keazaman dan kualiti ini mereka telah tunjukkan dalam pertandingan-pertandingan Sukan Sea, Sukan Asia dan terakhir di Piala AFF," kata Rajagobal.

Para pemain muda Malaysia juga mempunyai kesungguhan dan keyakinan tinggi dalam permainan serta patuh dengan arahan-arahan yang diberikan kepada mereka, katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan Malaysia dalam Piala AFF sebagai ulangan kepada senario di Sukan Sea apabila Malaysia yang kalah di tangan Vietnam di peringkat permulaan, telah berupaya bangkit kembali dan bertemu sekali lagi dengan Vietnam di perlawanan akhir dan seterusnya menang.

Mengenai nasihat yang beliau berikan kepada anak-anak buahnya ketika berdepan dengan puluhan ribu penyokong Indonesia di Jakarta, Rajagobal berkata bukan nasihat yang diberikan tetapi pendedahan awal mereka kepada situasi serupa telah menjadikan mereka terbiasa dapat bermain tanpa tekanan.

"Kita telah melalui situasi-situasi begini, pemain muda ini apabila kita mula bermain dengan Manchester United (pasukan utama liga Inggeris), di mana kebanyakan pemain adalah di bawah 23 tahun, jadi kita sudah memberi pendedahan untuk pemain awal dan pemain sudah boleh dikatakan telah mengalami situasai semacam ini dan kita nampak pemain tidak ada tekanan.

"Kita bermain kali pertama dengan Indonesia juga di hadapan penyokong berjumlah 80,000 hingga 90,000. Mungkin dalam hati mereka (pemain Malaysia) apabila kita kalah 5-1, mereka nak tunjuk balik bahawa pasukan Malaysia ini bukan calang-calang pasukan yang boleh dikalahkan 5-1 dengan begitu sahaja," katanya.

Beliau memuji mentaliti kuat yang dimiliki para pemain Malaysia selain sikap baik yang ditunjukkan oleh mereka. Beliau berterima kasih atas sokongan yang diterima terutamanya daripada pengurus pasukan yang sentiasa menjaga para pemain dengan baik.

Beliau turut menghargai peranan para pembantunya yang turut melatih pemain Malaysia. Komitmen dan kesungguhan para pemain membanggakan beliau.

"Pemain ini selalu apabila diturunkan memberi 100 peratus. Itulah yang luar biasa daripada pasukan ini.

"Walaupun kita ketinggalan, sampai habis perlawanan itu, mereka menunjukkan satu permainan yang baik, komitmen yang tinggi. Itulah yang membuat saya amat bangga tentang pasukan ini," katanya.

Rajagobal berkata beliau akan memberi sokongan jika ada pemain pasukan Malaysia diberikan tawaran untuk bermain dalam kelab bola sepak di luar negara kerana ia akan memberikan pendedahan yang baik untuk kemajuan mereka dan kemajuan bola sepak Malaysia.

"Saya fikir pemain kena ambil cabaran bahawa dia kena pergi keluar bermain dengan situasi yang berbeza, bermain dengan pemain-pemain yang berbeza. Ini memberi lebih pendedahan, lebih kekuatan daripada aspek-aspek yang kita kehendaki dalam perlawanan bola sepak yang moden," katanya.

Subahan pula berharap para pemain tidak akan terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.

"Hanya kena ingat bahawa jurulatih Rajagobal pun ada perancangan empat tahun untuk membentuk satu pasukan yang kuat. Hanya dalam dua kejohanan terdekat iaitu Sea Games 2009 dan AFF ini kita telah berjaya," katanya.

Beliau berharap penyokong Malaysia akan kekal menyokong pasukan negara walapun pada masa mereka tidak mencapai kejayaan sebagaimana sebelum ini.

"Ini adalah perancangan jangka panjang. Yang penting kita nak bentuk pasukan yang mempunyai kesinambungan.

"Maknanya akan ada masa kita tidak akan mencapai kejayaan semacam ini, tapi penyokong bola sepak kena faham bahawa matlamat kita ialah untuk membentuk satu pasukan yang kuat dalam jangka masa empat tahun.

"Akan ada masa naik turun, jadi masa kita turun jangan kritik pula," katanya sambil menjelaskan bahawa pasukan Malaysia sentiasa memerlukan sokongan moral daripada para penyokong.

Sehingga negara dapat membentuk sebuah pasukan yang benar-benar kuat dan diiktiraf di peringkat Asia, skuad negara akan terus menyertai pertandingan-pertandingan peringkat antarabangsa.

"Sasaran kita sekarang ialah untuk menyertai Piala Asia 2015. Bertanding dengan 16 pasukan terbaik Asia.

"Inilah perancangan masa depan untuk pemain berusia purata 22 tahun ini. Menjadikan masa depan mereka cerah dan masa depan bola sepak negara pun cerah," katanya.

Antara pertandingan penting buat skuad negara untuk meneruskan kecemerlangan mereka ialah kejohanan Sukan Sea tahun depan di mana Indonesia akan menjadi tuan rumah.

Kejayaan skuad kebangsaan turut mendapat pujian daripada pentadbir persatuan sukan lain.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata persatuan sukan lain perlu mencontohi apa yang telah dilakukan pemain negara.

"Pada mulanya tiada sesiapa sangka bahawa skuad negara yang dilabelkan sebagai pasukan 'underdog' bukan hanya menjadi juara sebaliknya turut sama menamatkan penantian selama 14 tahun negara untuk membawa balik piala tersebut ke Malaysia hari ini," katanya.

Sieh berkata tahun 2010 adalah merupakan tahun kebangkitan bagi semua acara sukan termasuk hoki serta berbasikal dan beliau berharap atlet negara mampu meneruskan pencapaian cemerlang tersebut pada Sukan Sea di Palembang, Indonesia yang dijadualkan berlangsung bulan November tahun depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Datuk Mohamad berkata PKBM mengucapkan tahniah di atas kejayaan skuad bola sepak negara dan berharap kecemerlangan tersebut mampu diteruskan pada tahun 2011.

"Kejayaan skuad bola sepak negara perlu mendapat pujian kerana bukan mudah untuk menjadi juara kerana setiap kejayaan hanya akan hadir jika ada usaha secara bersungguh-sungguh, pengorbanan serta displin yang tinggi dan ini semua dapat dilihat pada setiap pemain dalam skuad bola sepak kebangsaan," katanya.

Peyelaras skuad silat kebangsaan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Osman Nok turut berkongsi pendapat bahawa kekuatan semangat skuad bimbingan K.Rajagobal perlu dicontohi oleh semua persatuan sukan di negara ini termasuk pihaknya sendiri.

Beliau berkata kesungguhan skuad kebangsaan bermain secara bermati-matian ketika menentang pasukan Indonesia malam tadi seharusnya ada pada setiap atlet yang mewakili negara tidak kira di mana-mana kejohanan sekalipun. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan