Tiada Halangan Buat Malaysia Julang Piala AFF

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF-SUZUKI 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Ahad membuktikan Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjulang piala tersebut.

Beberapa jurulatih tempatan sependapat bahawa skuad negara mempunyai peluang cerah untuk menamatkan kemarau 14 tahun penantian untuk menjulang piala tersebut yang kejohananya diperkenalkan mulai 1996.

Pencapaian terbaik skuad negara ialah menjadi naib juara pada tahun 1996 setelah tewas kepada pasukan Thailand 0-1.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata kejayaan 3-0 telah pun meletakan kedudukan skuad negara sebagai juara Piala AFF Suzuki edisi 2010 dan tidak ada alasan untuk mereka tewas pada perlawanan penentuan di Jakarta Rabu ini.

"Saya rasa gembira kerana kehadiran pemain dari pasukan Kelantan, Norsharul Idlan Talaha telah sedikit sebanyak membantu skuad kebangsaan. Namun bukan hanya pemain dari pasukan Kelantan yang menyumbang kepada kejayaan tersebut sebaliknya ianya adalah hasil sumbangan daripada semua pemain dari skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Sathianathan berkata pasukan Indonesia tidak mempunyai kelebihan seperti yang ada pada skuad kebangsaan kerana sehingga kini belum ada pasukan yang mampu menumpaskan barisan pertahanan skuad Malaysia.

"Pada mulanya kita sangka pasukan kebangsaan Indonesia adalah pasukan yang kuat tetapi sebaliknya. Saya yakin dengan pencapaian semasa Malaysia dan mampu tumpaskan Indonesia walaupun bermain di Jakarta," katanya.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau dapat melihat tiga kekuatan pasukan kebangsaan iaitu barisan pemain pertahanan yang mantap, kesungguhan setiap pemain dan kerjasama pemain bermain secara berpasukan, tidak seperti pasukan Indonesia yang lebih bermain secara individu.

"Saya dapat rasakan bahawa skuad negara tidak mempunyai banyak halangan untuk menang, namun suka saya ingatkan kepada pemain kebangsaan agar tidak takut dengan aksi fanatik penyokong Indonesia dan bermain seperti biasa," katanya.

Pengurus Pasukan Pahang, Zainal Abidin Hassan pula berkata sebagai bekas pemain kebangsaan, beliau berbangga dengan pencapaian cemerlang skuad bimbingan K. Rajagobal dan berharap mereka dapat mengembalikan keunggulan bola sepak negara.

"Kejayaan menumpaskan Indonesia semalam menunjukan bahawa skuad kebangsaan semakin mantap dan mampu mencipta kejayaan dari satu tahap dan apa yang diharapkan mereka akan terus berusaha tanpa putus asa untuk kembalikan maruah bola sepak negara," katanya.

Zainal Abidin turut menasihati pemain supaya berwaspada dengan saingan lawan yang kini ketinggalan 0-3 yang semestinya dalam kehausan untuk mencari mata kemenangan.

"Nasihat saya kepada pemain beraksilah sebagai satu pasukan yang padu dan bermainlah seperti biasa walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan ribuan penyokong Indonesia di Jarkata pada Rabu ini," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan