Skuad Harimau Malaya Tampil Yakin Di Perlawanan Akhir Kedua Piala AFF

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi ini dengan berkeyakinan menghadapi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta pada Rabu ini.

Berbekal dengan kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad "Harimau Malaya" itu K. Rajagobal berkata pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi skuad "Garuda".

"Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

"Jadi kita tunggu dan lihat sahaja pada hari Rabu ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten ketika ditanya pemberita sama ada beliau yakin pasukan akan muncul juara Piala AFF kali ini.

Beliau belum memutuskan sama ada akan menurunkan para pemain Malaysia pada sesi latihan hari ini namun difahamkan bahawa mereka berkemungkinan akan hanya menjalani latihan ringan hari ini.

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

"Ada dua orang yang cedera ringan" Siapakah yang cedera itu "jurulatih dan pembantu jurulatih" katanya sambil ketawa dan meluru menaiki bas.

Terdahulu ketibaan skuad "Harimau Malaya" itu di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tengerang, Banten disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.

Pertandingan bola sepak Piala AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia setelah pasukan "Garuda" muncul unggul dalam perlawanan di peringkat penyisihan dan peringkat separuh akhir, kesemuanya di gelanggang sendiri.

Kekalahan Indonesia 0-3 ke atas Malaysia di Kuala Lumpur semalam mengecewakan para penyokong pasukan itu namun mereka tetap berharap, pasukan mereka pasti akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang mereka sendiri pada Rabu ini.

Indonesia sekurang-kurangnya harus menang dengan 4-0 pada perlawanan akhir kedua bagi memenangi pertandingan itu.

Sementara itu, sehingga ini belum ada sebarang kepastian sama ada AFF akan memindahkan venue perlawanan akhir kedua ini ke tempat lain berikutan insiden rusuhan para penyokong pasukan "Garuda" di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta petang semalam.

AFF semalam memberikan peringatan keras kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa final kedua akan dipindahkan ke venue lain jika stadium itu dirosakkan orang ramai.

Penyokong pasukan Indonesia yang hilang sabar akibat keletihan kerana terlalu lama menunggu giliran membeli tiket telah antara lainnya memecahkan beberapa pagar keselamatan selain memasuki kawasan padang stadium itu dan memijak-mijak rumputnya.

Beberapa orang penyokong Indonesia dilaporkan pengsan dalam insiden itu.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan