Peminat Bola Sepak Serbu Stadium Nasional Sejak Petang

Diterbitkan: Ahad, 26 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suasana di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sudah mula gamat dengan sorakan serta tiupan "Vuvuzela" dan pukulan gendang oleh penyokong-penyokong pasukan Malaysia dan Indonesia, yang beraksi dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010, malam ini.

Bahang kehangatannya sudah mulai terasa sejak pukul 6 petang apabila kira-kira 30,000 penyokong kedua-dua pasukan mula mengisi tempat duduk Stadium Nasional yang mula dibuka seawal pukul 3 petang, dan perlawasan bermula pukul 8 malam.

Bagi penyokong Malaysia, rata-rata kalangan mereka mengenakan jersi pasukan kebangsaan "Harimau Malaya", mengibar-gibarkan bendera Jalur Gemilang serta sepanduk yang tertera kata-kata peransang untuk menaikkan semangat pasukan.

Sementara itu di kawasan luar stadium pula, suasana seolah-olah suatu karnival apabila para peniaga mengambil kesempatan mencari rezeki daripada kebanjiran peminat-peminat bola sepak di sini.

Laluan menuju ke arah kawasan Kompleks Sukan Negara dari Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kesas, Maju Express Highway, sesak di kedua-dua hala sejak petang tadi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan sejumlah 70,000 tiket untuk penyokong Malaysia manakala 15,000 lagi untuk penyokong Indonesia.

Perlawanan akhir timbal balik kedua Piala AFF-Suzuki 2010 akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember ini.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan