Misi Penting Skuad Bola Sepak Negara

Diterbitkan: Ahad, 26 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aksi penyerang negara, Safee Sali ketika menjalani latihan terakhir menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF, Ahad.
Aksi penyerang negara, Safee Sali ketika menjalani latihan terakhir menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF, Ahad.

TEMPOH 14 tahun menanti untuk melihat piala kebanggaan Asia Tenggara untuk berada di Malaysia bakal menjadi kenyataan sekiranya skuad bola sepak negara berjaya menundukkan pasukan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad.

Lawan Malaysia bukan mudah walaupun belum pernah menjulang trofi kejuaraan, namun berdasarkan rekod, pasukan Indonesia merupakan naib juara tiga kali berturut-turut iaitu 2000,2002 dan 2004. Berdasarkan prestasi juga, kelebihan pastinya memihak kepada pasukan kendalian jurulatih dari Austria ini, Alfred Riedl kerana pernah membelasah skuad negara 5-1 pada saingan kumpulan sebelum ini.

Bagaimana pun rekod kekalahan itu tidak boleh dijadikan alasan skuad Harimau Malaya untuk tidak layak meraih gelaran juara. Selepas kekalahan memalukan itu, skuad K.Rajagobal ini bangkit mengutip mata satu persatu sehingga layak ke pusingan separuh akhir sekali gus menundukkan juara bertahan, Vietnam dengan agregat 2-0, hasil jaringan penyerang berbisa negara, Safee Sali.

Pasukan Indonesia mungkin terlalu yakin boleh ‘makan’ pasukan negara sekali lagi kerana mereka mempunyai ramai pemain yang hebat antaranya kehadiran pemain kelahiran Uruguay, Cristian Gonzales yang menjadi penyumbang kepada kemenangan ketika bertemu Filipina pada saingan separuh akhir baru-baru ini.

Selain itu, bekas pemain Selangor, Bambang Pamungkas juga antara pemain yang perlu diberi perhatian selain daripada pemain muda lincah, Oktovianus Maniani, serta Firman Utina. Mereka ini dilihat sebagai pemusnah sekiranya benteng pertahanan ampuh seperti perlawanan sebelum ini.

Mungkin nama-nama ini telah menimbulkan perasaan gentar kepada barisan negara yang rata-ratanya dibarisi pemain muda pada perlawanan peringkat kumpulan, namun kini perasaan itu tidak timbul lagi. Skuad negara hari ini merupakan barisan pemain yang mempunyai semangat juang yang tinggi.

Semangat ini dapat dilihat selepas Malaysia layak beraksi di final dan seperti kata Rajagobal baru-baru ini, peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya. Pemain sendiri yang akan mencorakkan permainan dan tahu tujuan mereka bermain.

“Saya serah kepada pemain sama ada mereka mahu menang atau tidak. Namun saya dapat lihat mereka semua sememangnya ingin menggunakan peluang ini sekali gus cuba meraih kejuaraan. Bertemu Indonesia bukanlah mudah kerana mereka dibarisi pemain-pemain handal, tetapi kita perlu ingat bahawa pemain-pemain Malaysia juga mempunyai kelebihan tersendiri.

“Peluang beraksi di tempat sendiri ini juga perlu digunakan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri, dan saya mengharapkan keputusan yang baik akan memihak kepada kita sebelum bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia, 29 Disember ini.

“Saya mahu lihat kita menang kerana kita tidak ada pilihan lain selain menang. Selepas ini, keadaan akan berubah sekiranya beraksi di tempat lawan,” katanya.

Sementara itu, Rajagobal juga turut mengesahkan semua pemain-pemainnya telah bersedia bagi perlawanan akhir ini.

“Dengan masa yang terhad selepas aksi separuh akhir kedua di Hanoi minggu lalu, kami sempat menjalani persediaan yang bersesuaian dan turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Felda United.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan bersedia untuk bertemu pasukan Indonesia kecuali dua pemain negara, Amirul Hadi Zainal dan Khairul Muhaimi Omar yang masih mengalami kecederaan,” katanya.

Bagaimana pun, Rajagobal berkata, Amirul telah turut serta pada sesi latihan dua hari lalu dan keadaannya dilihat agak baik.

“Kemungkinan besar dia mungkin boleh bermain Ahad ini, namun kita tengoklah keadaannya nanti. Manakala siapa pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama skuad, kita akan putuskan menjelang perlawanan nanti,” katanya.

Selain itu, perlawanan akhir ini diharap mampu memberi kejayaan bukan sahaja kepada skuad negara, malah ia juga adalah berita gembira kepada seluruh peminat-peminat bola tempatan yang sememangnya ingin melihat skuad kita melakarkan sejarah bola sepak negara selepas kali terakhir mara ke final pada tahun 1996.

Sokongan penuh seluruh rakyat Malaysia sememangnya diharapkan agar Stadium Nasional Bukit Jalil bergegar dengan laungan nama Malaysia sekali gus memberi semangat kepada pemain-pemain kita. Realistiknya ia bukan perlawanan mudah, namun bola itu bulat. Segalanya boleh berlaku dan paling penting semangat sepasukan akan mencatatkan keputusan selepas itu.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan