Tabung Aku Janji Ganjaran Piala Suzuki Kumpul RM80,700

Diterbitkan: Sabtu, 25 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tabung Aku Janji Ganjaran Piala AFF Suzuki, yang bertujuan mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika memenangi Piala AFF tahun ini, kini menerima ikrar sumbangan sebanyak RM80,700 sejak dimulakan pada Isnin.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa berkata tabung yang dikendalikan oleh persatuan itu sehingga kini hanya menerima ikrar sumbangan daripada syarikat-syarikat kecil dan orang perseorangan.

"Penonton-penonton menunjukkan sokongan kepada skuad kebangsaan dengan membeli tiket berharga RM50 dan RM30 bagi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia melawan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ni.

"Kini masanya kepada syarikat-syarikat korporat di negara ini menunjukkan bukti sokongan mereka kepada pasukan bola sepak kebangsaan dengan turut menyumbang kepada tabung tersebut," katanya di sini Jumaat.

Ahmad Khawari berkata jika penulis blog persendirian seperti Muhammad Rizal Hashim boleh memberikan ikrar sumbangan sebanyak RM100 bagi setiap pemain dan pegawai skuad, tentunya syarikat korporat mampu memberikan sumbangan yang lebih besar lagi. Tugas mengendalikan Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki diserahkan kepada SAM oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sebelum itu memberikan ikrar bahawa kementeriannya menjanjikan RM5,000 bagi setiap pemain jika mereka berjaya membawa pulang gelaran sulung saingan bola sepak serantau itu.

Pihak berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Pejabat SAM dengan menelefon 03-20780985 (Isnin, Selasa & Khamis, 10 pagi hingga 4 petang) ataupun faksimili 03-20706294.

Penyumbang: Double XL Services Sdn Bhd (RM22,000), SPA Intergrated Sdn Bhd RM10,000), WSL (MSC) Sdn Bhd (RM22,000), Aiman Motor Sdn Bhd (RM22,000), Kelab Futsal Arena (RM2,200) dan penulis blog Muhammad Rizal Hashim $2,500-$3,200 (mengikut bilangan pemain dan pegawai di dalam pasukan). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan