T Team Tagih Khidmat Penyerang Kebangsaan Dalam Liga Super Musim Depan

Diterbitkan: Sabtu, 25 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: T'Team menagih khidmat dua menyerang berbisa dalam menghadapi saingan Liga Super yang akan bermula Januari tahun depan.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata bekas pemain kebangsaan Nor Farhan Mohamad dan Mohd Haris Safwan Kamal akan disatukan di bahagian hadapan sebagai pemain penyerang.

"Kita akan cuba gabungkan mereka berdua dan kita yakin kedua-dua bekas pemain kebangsaan ini akan dapat memberikan sesuatu yang kita harapkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Yunus berkata untuk musim depan, T'Team juga mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin yang pertama kali mewakili T'Team tahun ini.

Beliau berkata T'Team setakat ini sudah mengadakan empat perlawanan persahabatan untuk menguji keserasian pemain-pemain sebelum membentuk pasukan sebenar.

Katanya, Zairo Anuar Zalani yang mengalami kecederaan masih belum diuji, namun sudah mula menunjukkan kecergasan setelah menjalani rawatan.

Selain itu T'Team juga akan diperkuatkan oleh beberapa orang bekas pemain kebangsaan seperti penjaga gol Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Subri Sulong, Nur Fadzly Alias dan Shahrul Ezrain Syamsuddin.

Beberapa muka baru yang berbakat dalam bola sepak seperti Azrol Hazran Aminudin Baki, Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali, Abdul Alif Alias, Shamsul Kamal Mohd dan Mohd Shazlan Alias juga ditonjol dalam pasukan itu.

Yunus berkata beliau yakin kehadiran pemain-pemain berpengalaman itu akan menjadikan T"Team lebih hebat dan disegani tahun depan.

Beliau berkata sasaran T'Team tahun depan ialah untuk memperbaki kedudukannya di tangga yang lebih baik lagi dalam pertandingan Piala Malaysia dan Liga Super.

Dalam pertandingan tahun ini, T'Team menduduki tempat ketiga dalam kumpulan Piala Malaysia dan tempat ke tujuh pertandingan Liga Super, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan