Tiket RM30 Perlawanan Akhir Piala Suzuki Masih Ada - Bola Sepak | mStar

Tiket RM30 Perlawanan Akhir Piala Suzuki Masih Ada

Diterbitkan: Jumaat, 24 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiket berharga RM30 bagi perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia pada Ahad ini masih boleh dibeli di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S.Sivasundaram berkata sehingga tengah hari ini, 40,000 tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka masih ada.

"Tiket berharga RM50 bagi tempat duduk VIP pula sudah habis dijual pada hari pertama kaunter di Stadium Nasional Bukit Jalil dibuka semalam," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

FAM memperuntukkan 70,000 keping tiket berharga RM30 dan 2,500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Malaysia, dan 15,000 tiket berharga RM30 dan 500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Indonesia.

Tiket-tiket turut dijual di kaunter khas yang dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang di Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di sini.

Tiket RM50 yang dijual di kedutaan itu juga habis dijual semalam.

Sivasundaram berkata kaunter tiket di Stadium Nasional akan dibuka sehingga Ahad ini, dari 10 pagi hingga 7 petang. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan