SAM Jangka 300 Orang Sertai Cabaran Futsal Media 2010

Diterbitkan: Jumaat, 10 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih 300 peserta dari 24 pasukan mewakili pelbagai organisasi media dijangka menyertai Cabaran Futsal Media SAM-Astro Arena 2010 yang diadakan buat julung kalinya pada 26 Disember ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Asan Ahmad berkata cabaran futsal media itu adalah aktiviti penutup tirai yang bertujuan merapatkan hubungan dan kerjasama antara wartawan sukan, badan-badan sukan dan penaja.

"SAM berharap penyertaan menggalakkan dari media elektronik dan media cetak seperti akhbar Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil dapat dicapai pada kejohanan pertama ini.

"Selepas setahun bertugas membuat liputan pelbagai acara sukan, inilah masanya untuk ahli-ahli SAM dan warga media lain menunjukkan bakat dan kemahiran mereka atas padang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tajaan dan sumbangan oleh penaja untuk pertandingan itu, di sini Khamis.

Beliau berkata pertandingan futsal ini akan dijadikan aktiviti tahunan dalam kalendar SAM.

Pertandingan itu yang akan berlangsung di Indoor Sports Arena, bangunanMajlis Olimpik Malaysia menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada juara, RM1,000 bagi naib juara, RM750 untuk tempat ketiga dan RM500 untuk tempat keempat.

Penyertaan adalah secara jemputan dan percuma.

Borang penyertaan boleh diperolehi di pejabat SAM bermula Khamis, dan tarikh tutup ialah pada 20 Disember ini.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan