Minta Naik Taraf Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan diminta membaik pulih atau menaik taraf Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini yang jelas tidak menepati kriteria yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa berkata antara kriteria yang tidak menepati syarat itu termasuk kecerahan lampu limpah, bilik persalinan pemain, tandas, pintu masuk, kaunter tiket dan tempat duduk wartawan.

"Saya bimbang dengan tindakan yang mungkin dikenakan FAM antara lainnya menyebabkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa berpindah ke stadium lain dan jika ini berlaku akan merugikan Kafa dan kerajaan Kelantan," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Stadium itu diuruskan oleh Perbadanan Stadium Kelantan iaitu milik kerajaan Kelantan yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Annuar yang juga Presiden Kafa berkata demikian mengulas keadaan stadium itu yang sesetengah pihak menganggapnya berada dalam keadaan "tidak sepatutnya" dan berharap perbadanan itu tidak mengambil mudah perkara tersebut.

Beliau berkata antara lain FAM telah menetapkan agar pengurusan stadium perlu menitikberatkan perlawanan yang diadakan bagi peringkat kebangsaan menitikberatkan soal sistem keselamatan, pembesar suara, bilik persiapan pemain berhawa dingin dan penyediaan bilik rawatan.

Annuar berkata sekiranya peraturan itu tidak diambil berat oleh pihak pengurusan, kemungkinan besar tindakan tegas boleh dikenakan termasuk membatalkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung di stadium itu.

"Yang rugi adalah kerajaan negeri, sedangkan kerajaan negeri mempunyai wang dan Kafa sahaja sudah membayar lebih RM1 juta bagi tahun ini hasil dari perlawanan yang diadakan di Kelantan," katanya.

Untuk itu beliau mengingatkan dalam tempoh dua bulan ini pihak pengurusan stadium itu perlu bertindak segera dengan membaik pulih kerosakan yang berlaku sebelum perlawanan pertama Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada awal Januari tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan