"Saya sangat kecewa...sangat, sangat kecewa," - Sir Alex Ferguson

Diterbitkan: Khamis, 21 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson, tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya ke atas sikap Wayne Rooney yang secara rasminya enggan menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu.

Sambil menyatakan, tindakan Rooney itu sebagai tidak menghormati tradisi dan sejarah panjang Manchester United, Ferguson turut mengeluarkan kata-kata "Saya merasa sangat kecewa...sangat-sangat kecewa dengan Rooney."

Ferguson berkata, beliau mendapati tindak-tanduk Rooney itu adalah sesuatu yang sangat misteri dan tidak ada jawapannya.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Bursaspor pada peringkat kumpulan Piala Juara-juara Eropah, Ferguson ketika ditanya apakah reaksinya apabila diberitahu yang Rooney mahu meninggalkan kelab ternama itu, jawapannya ialah "saya tergamam...'

Dalam sidang akhbar yang menyaksikan Ferguson bercakap dengan panjang lebar dan penuh dengan emosi mengenai masa depan Rooney, beliau telah menceritakan bagaimana kelab itu bermati-matian mempertahan dan cuba melindungi Rooney daripada berita-berita negatif yang menyelubungi dirinya selama ini.

"Hakikatnya saya berasa sangat kecewa, sangat-sangat kecewa dengan apa yang sedang berlaku sekarang dan saya tidak dapat mempercayainya," jelas Ferguson.

"Dia memberitahu kami semua yang dia sangat gembira di sini dan dia mahu menghabiskan seluruh kariernya bersama kami di United jadi saya ingin menyatakan bahawa saya berasa sangat kecewa mendengar berita ini dan terus terang saya katakan yang saya tidak memahami apa yang menyebabkan dia mahu meninggalkan kelab ini," tegas Ferguson lagi.

Kontrak Rooney akan tamat dalam tempoh 20 bulan dari sekarang dan jika Manchester United gagal menjualnya atau mendapatkan tandatangannya untuk kontrak yang baru, pemain England itu akan menjadi pemain bebas dan boleh menyertai mana-mana kelab secara percuma.

Bagi pemain bertaraf superstar seperti Rooney, United akan kehilangan wang yang banyak jika itu berlaku dan menurut Ferguson, mereka telah menyediakan kontrak baru untuk Rooney pada 14 Ogos lalu.

Tetapi menurut Ferguson agen Rooney,Paul Stretford telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill yang pemain itu enggan menandatangani kontrak baru dua hari sebelum bermulanya musim baru Liga Perdana Inggeris.

Ini menunjukkan, hasrat Rooney untuk meninggalkan United bukannya baru muncul sekarang tetapi dia telah membulatkan hatinya untuk berhijrah sebelum musim baru bermula lagi.

"Saya berada di Carrington (pusat latihan United) dan David Gill menelefon memberitahu yang dia sedang dalam perjalanan ke kem latihan dan dia ada berita buruk untuk saya.

"Kata Gill, agen Rooney memaklumkan kepada mereka yang Rooney enggan menandatangani kontrak baru dan dia mahu berhijrah. Dan Gill kata dia pun tergamam dan terkejut mendengar penjelasan agen Rooney itu," cerita Ferguson lagi.

Ferguson turut menyatakan bahawa dia berasa terkilan dengan cara pihak Rooney memberi alasan kepada hasrat Rooney untuk berhijrah iaitu kerana perbezaan pendapat antaranya dengan pemain itu yang kononnya tidak dapat dibaiki lagi.

"Sebenarnya tidak ada apa-apa isu pun antara saya dengan Roonye. Kami tidak pernah bergaduh atau bertekak walaupun secubit. Tetapi saya faham, apabila seseorang berhasrat untuk meninggalkan sesebuah kelab, adalah lebih mudah untuk berkata ia adalah kerana perselisihan faham dengan pengurus. Memang itulah cara paling mudah untuk mencari jalan keluar," ujar Ferguson.

"Ya akhirnya saya bertemu dari hati ke hati dengan Rooney dan nampaknya dia telah menyatakan kepada saya yang dia mahu meninggalkan kelab ini. Dan saya menasihatinya bahawa satu-satunya cara untuk dia lakukan ini dengan terhormat dan terbaik demi masa depan dan nama baik kelab ini ialah dengan bertindak secara profesional dan kami akan tengok apa yang boleh kami lakukan.

"Tetapi tengoklah, kini saya tidak pasti apakah itu (mengikuti nasihat) yang telah dia lakukan. Saya berasa sangsi kerana selepas membaca dalam akhbar akan apa yang berlaku, kononnya dia telah berselisih faham dengan saya dan segala macam perkara karut yang telah didedahkan, maka akhirnya saya berasa kecewa kerana kami telah melakukan apa yang terdaya untuk membantunya terutama sekali semasa dia berhadapan dengan krisis peribadinya," tegas Ferguson.

Kata Ferguson, sejak hari pertama Rooney menjadi pemain United, kelab itu telah melakukan segala-galanya untuk dia - memberi petunjuk, nasihat, bimbingan dan dorongan yang diperlukan oleh seorang anak muda malah melindunginya daripada segala macam perkara negatif yang dapat menjejaskan permainannya.

Malah menurut Ferguson, beliau sampai ke peringkat memberi nasihat bagaimana hendak menguruskan kewangan peribadinya dan bukan sekali tetapi banyak kali.

Tetapi kata Ferguson mereka kini telah berada dalam situasi yang mana kelab tersebut perlu menjelaskan kepada para peminat dan juga penyokong akan apa yang sebenarnya berlaku lebih-lebih lagi selepas perlawanan menentang West Bromwich Albion yang menyaksikan peminat melaung-laungkan nama Rooney kerana mereka memikirkan pihak pengurusan sengaja atau enggan menurunkan Rooney.

Hakikatnya ialah Rooney tidak lagi mahu bermain untuk kelab ini dan bukan sebaliknya.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan