Akaun Sukom 98 Hanya Akan Ditutup Oktober Tahun Depan

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun England, Australia dan India telah menganjurkan Sukan Komanwel selepas giliran Malaysia pada 1998, akaun penganjur temasya sukan terbesar pernah dianjurkan di negara ini, iaitu Sukom Ninety Eight Berhad (SUKOM 98), hanya akan ditutup secara rasmi pada Oktober tahun depan.

Pengerusi Eksekutif SUKOM 98 Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf berkata, syarikat tersebut yang ditubuhkan bagi mengendali Sukan Komanwel di ibu negara pada 1998, telah melantik sebuah syarikat pembubar, Deloitte Kassim Chan, pada awal bulan ini untuk menyelesaikan penutupan akaun itu.

Ketika ditanya kenapa SUKOM 98 memerlukan masa sehingga 13 tahun untuk dibubarkan, Nik Mahmud berkata antara penghalang utama ialah kes tuntutan di mahkamah, akaun yang belum selesai serta masa yang diperlukan untuk mengutip dan menjelaskan hutang.

"Deloitte Kassim Chan bertanggungjawab untuk menutup akaun SUKOM 98, termasuk menyelesaikan semua kes tuntutan di mahkamah," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya di Bukit Jalil.

Dalam tempoh 12 bulan yang akan berakhir Oktober tahun depan, Deloitte Kassim Chan perlu menjalankan audit khas bagi menutup akaun itu dan mengadakan mesyuarat agung untuk menggulung SUKOM 98, kata Nik Mahmud yang menamatkan kontrak sebagai Pesuruhjaya Sukan, Khamis lepas, setelah dilantik ke jawatan itu pada 14 April menggantikan Tan Sri Elyas Omar.

Beliau berkata syarikat pembubar itu memerlukan masa selama 12 bulan bagi menggulung akaun SUKOM 98 dan memastikan akaun syarikat adalah cair atau solvent, untuk menyelesaikan segala masalah hutang.

Katanya, selepas mesyuarat agung tersebut, laporan akan dihantar kepada Pendaftar Syarikat (ROC) untuk mendapat kelulusan pembubaran SUKOM 98 mengikut Akta Syarikat.

Nik Mahmud berkata sehingga hujung tahun lepas, terdapat 23 kes tuntutan mahkamah dan 15 penghakiman yang melibatkan SUKOM 98, sama ada tuntutan kepada syarikat tersebut, atau tuntutan SUKOM 98 terhadap pihak lain.

"Kebanyakan kes tuntutan yang melibatkan SUKOM 98 telah diselesaikan melalui penyelesaian di luar mahkamah," katanya.

Beliau berkata kes terakhir tuntutan hutang terhadap SUKOM 98 difailkan oleh UEM Group Bhd, dengan tuntutan sebanyak RM500,000 tetapi syarikat tersebut akhirnya bersetuju menarik balik tuntutan itu pada awal tahun ini.

Akaun SUKOM 98 ketika ditubuhkan berjumlah RM11.6 juta dengan RM11.4 juta merupakan geran daripada kerajaan untuk menganjurkan temasya sukan berprestij itu.

Selain Nik Mahmud sebagai pengerusi eksekutif SUKOM 98, ahli lembaga pengarah yang lain bagi tempoh 2009 sehingga kini ialah presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, setiausaha kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi, bekas Pesuruhjaya Sukan Tan Sri Elyas Omar dan ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan