Akademi Bola Sepak Mampu Tingkatkan Mutu Bola Sepak Negara

Diterbitkan: Sabtu, 16 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyambut baik keputusan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan Akademi Bola Sepak di Pahang.

Titah baginda penubuhan akademi itu mampu mempertingkatkan lagi mutu bola sepak negara ini.

"Dengan adanya akademi itu, FAM akan dapat merangka program pembangunan bola sepak untuk jangka panjang," titah baginda kepada pemberita di sini, Sabtu.

Sultan Ahmad Shah mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu pada pembentangan Bajet 2011 Jumaat.

Penubuhan akademi itu juga titah baginda, selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu bola sepak negara dengan melahirkan ramai pemain bola sepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Sultan Pahang yang ditemui selepas majlis Konvokesyen Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini turut berharap akademi itu ditubuhkan secepat mungkin agar segala perancangan pembangunan sukan bola sepak dapat dilaksanakan segera.

Pada masa yang sama, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak bersungguh-sungguh menjayakan pembangunan bola sepak di negara ini dan tidak meletakkan tangungjawab itu kepada FAM semata-mata.

"Tak guna ada akademi kalau kita tak berusaha dengan sepenuhnya (untuk meningkatkan mutu bola sepak negara)," titah baginda. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan