PBNS Wujudkan J/Kuasa Pembangunan Bola Sepak

Diterbitkan: Khamis, 19 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mewujudkan jawatankuasa pembangunan bola sepak dalam usaha melahirkan bakat muda yang boleh dijadikan pemain pelapis untuk menyertai pasukan Negeri Sembilan pada masa depan.

Menteri Besar yang juga presiden PBNS, Datuk Mohamad Hasan berkata keputusan untuk mewujudkan jawatankuasa ini dicapai pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan kewangan PBNS baru-baru ini.

"Meneliti perkembangan bola sepak negeri ini kita dapati kita mesti mempunyai program pembangunan bola sepak. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBNS Datuk Mat Ali Hassan," katanya di sini, Khamis.

Mohamad berkata di antara program yang dicadangkan ialah mengadakan pertandingan liga di peringkat umur 16 tahun, 18 tahun dan Piala Presiden.

"Kita juga mahu menubuhkan semula sekolah Tunas Harapan di seluruh negeri ini. Kalau kita dapat mengenal pasti 20 ke 30 buah sekolah untuk dijadikan sekolah Tunas Harapan yang menumpukan kepada bola sepak, InsyaAllah kita akan dapat bakat muda yang akan boleh dijadikan sebagai pemain pelapis untuk menyertai pasukan Negeri Sembilan pada masa depan," katanya.

Katanya jawatankuasa ini telah diberikan mandat untuk merangka satu program jangka panjang yang menumpukan kepada pembangunan bola sepak.

"Di sini kita akan wujudkan jurulatih dan pakar bola sepak untuk menjalankan tugas tersebut. Kita harap jawatankuasa ini akan dapat mengemukakan kertas cadangan mereka secepat mungkin. Program ini merupakan program komprehensif dari peringkat akar umbi (sekolah)," katanya.

Katanya program ini yang turut mendapat sokongan penuh kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri akan dimulakan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PBNS berhasrat untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain berkaliber untuk mengisi posisi tengah dan penyerang bagi persiapan skuad Rusa musim depan. "Perancangan itu sudah diputuskan dalam mesyuarat PBNS baru-baru ini dan usaha itu akan dilakukan sebaik tirai saingan musim ini berakhir," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan