N. Sembilan Akan Dapatkan Khidmat Pemain Penyerang Pasukan Lain

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan akan mendapatkan khidmat dua atau tiga pemain dari pasukan lain bagi memantapkan lagi pasukan itu dalam menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini yang bermula 14 Sept ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Mohamad Hasan berkata pemain yang menunjukkan minat untuk menyertai Negeri Sembilan akan diuji terlebih dulu.

"Kita berharap pemain yang diperlukan itu akan dapat diperoleh dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini. Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan sedang mengenal pasti pemain berkenaan," katanya di sini, Rabu.

Pada saingan Piala Malaysia kali ini, Negeri Sembilan diletakkan dalam kumpulan bersama naib juara tahun lepas, Kelantan selain KL Plus dan PKNS dan skuad Rusa itu bakal membuka tirai saingan menentang Kelantan di Kota Baharu, 14 Sept ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berharap pemain akan meningkatkan lagi prestasi masing-masing demi memastikan penguasaan berterusan skuad itu pada saingan berprestij itu.

"Jika pemain Negeri Sembilan dapat memperbaiki lagi persembahan, kejayaan pasti mampu dicapai kerana prestasi setiap pasukan yang bertanding tidak jauh bezanya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan