Maradona Mahu Kemudi Aston Villa

Diterbitkan: Ahad, 15 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona (gambar) memberitahu Aston Villa bahawa beliau sanggup mengambil alih kerusi panas di Villa Park.

Martin O'Neill meletak jawatan sebagai pengurus pasukan itu minggu lalu dan Kevin McDonald mengemudi Villa menewaskan West Ham 3-0 pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu apabila diberi tanggungjawab untuk mengambil alih kelab berkenaan buat sementara waktu.

Pengurus Ajax, Martin Jol dan Pengurus Amerika Syarikat (AS), Bob Bradley dikaitkan dengan Villa tetapi Maradona yakin dia boleh menjadi pengurus terbaik pasukan itu musim ini.

"Saya percaya Maradona bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Aston Villa. Dia amat tertarik dengan corak permainan bola sepak Inggeris dan cara kehidupan di England," kata wakilnya di Eropah, Walter Soriano kepada Sunday Mercury.

Maradona meninggalkan tugas selaku Pengurus Argentina bulan lalu selepas skuad itu tewas 0-4 kepada Jerman pada aksi suku akhir Piala Dunia 2010.

"Jika pemilik Villa, Randy Lerner mahu mengemukakan tawaran serius terhadapnya, saya yakin dia akan memberi reaksi positif.

"Maradona kini sedang berbincang dengan beberapa kelab di Eropah termasuk salah sebuah kelab di England berhubung tugas dalam bidang pengurusan dan sedang meneliti pilihannya secara terperinci," jelasnya.

Beliau diangkat sebagai pemain terbaik dunia sebaris Pele tetapi pernah bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah ketika dia berada di kemuncak kariernya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan