O'Neill Tidak Turunkan Milner Jumpa Valencia

Diterbitkan: Sabtu, 7 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perpindahan Milner ke City semakin hampir.
Perpindahan Milner ke City semakin hampir.

PENGURUS Aston Villa, Martin O'Neill tidak menurunkan James Milner ketika menentang Valencia dalam perlawanan persahabatan pra musim dan menegaskan perpindahannya kemungkinan besar akan berlaku.

Milner dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City pada musim panas tetapi Villa menolak tawaran bernilai 20 juta pound (RM100.3 juta) pada Mei lalu.

Baru-baru ini timbul khabar angin yang mengaitkan masa depan Milner di Villa Park semakin samar tetapi O'Neill memberi bukti kuat berhubung perpindahannya selepas pertemuan dengan Valencia.

"Kami tidak menurunkannya menentang Valencia kerana perpindahannya akan berlaku pada Isnin atau Selasa depan. Setakat ini, tiada tawaran dipersetujui tetapi perbincangan diadakan di antara ketua eksekutif dan pengerusi Villa," kata O'Neill.

Menurut O'Neill kehilangan pemain terbaik seperti Milner pastinya menimbulkan keresahan kepada kelab menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan.

"Perkara sama berlaku dua tahun lalu apabila Gareth Barry meninggalkan kelab untuk menyertai City. Jika perpindahan itu berlaku, saya akan bertemu dengan pengerus mengenai isu perpindahan pemain pada masa hadapan," tambahnya.

Manchester City tanpa segan silu menyuarakan minat terhadap Milner, perpindahan yang menjadikan jumlah perbelanjaan pada musim panas ini mencecah lebih 100 juta pound (RM501 juta).

Roberto Mancini sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Milner dan Mario Balotelli untuk memperkukuh skuad sebelum pintu perpindahan pemain ditutup pada saat akhir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan