Sukan Asia, SEA Jadi Misi Utama FAM

Diterbitkan: Ahad, 1 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menetapkan misi utama badan induk itu ialah memastikan skuad negara layak ke pusingan akhir acara bola sepak Sukan Asia di Guangzhou, China pada November ini.

Baginda bertitah skuad negara juga perlu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di temasya Sukan SEA di Laos pada tahun lepas, pada Sukan SEA di Indonesia yang akan berlangsung tahun depan.

"Selepas itu, barulah kita fikirkan mengenai aksi di temasya Olimpik atau Piala Dunia," titah baginda ketika ucapan penangguhan kongres FAM kali ke-47, yang berlangsung di sebuah hotel di sini, Sabtu.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh bekas timbalan presiden FAM Khairy Jamaluddin.

Pada kongres hari ini, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan yang disandang itu sejak 1984 setelah menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup 18 Julai lepas. Khairy pula tidak mempertahankan jawatannya.

Sultan Ahmad Shah bertitah banyak soalan dikemukakan di Parlimen mengenai mutu bola sepak negara dan bilakah Malaysia mampu untuk beraksi di Olimpik serta Piala Dunia.

"Disebabkan itu, FAM menjadikan kebangkitan bola sepak sebagai agenda nasional," titah baginda.

Sementara itu jumlah anggota gabungan FAM kini meningkat kepada 20 selepas kongres hari ini bersetuju menerima kemasukan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia.

FAM sebelum ini mempunyai 19 anggota gabungan termasuk Persatuan Bolasepak Melayu, Persatuan Bolasepak China dan Majlis Sukan India. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan