Kemuncak Piala Dunia: 'Inilah Masanya'

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHANNESBURG: Ke Nako - ungkapan yang disebut berulang kali oleh seorang kanak-kanak Afrika Selatan dalam iklan Astro yang bermaksud 'Inilah masanya'.

Dalam konteks itu, inilah masanya untuk Piala Dunia.

Ia tidak dapat dielakkan sebaik saja anda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jo'burg O.R Tambo.

Poster gergasi Nelson Mandela yang tersenyum sambil memegang trofi Piala Dunia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong dan jika anda pegawai Fifa atau salah seorang yang bertuah memegang tiket perlawanan, prosedur imigresen menjadi lebih mudah.

Menjenguk ke luar dan anda akan menemui beberapa papan iklan yang jelas menunjukkan Afrika Selatan berasa bangga menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia terdapat di mana-mana.

Castrol, Coca Cola, Sony, Hyundai dan beberapa penaja lain menghiasi papan iklan, poster dan pembahagi jalan untuk menguar-uarkan kerjasama mereka dengan bola sepak dan Afrika Selatan.

Presiden Jacob Zuma menganggarkan pengunjung akan membelanjakan kira-kira 13 juta rand (RM6 bilion) sepanjang perlawanan itu dan kemasukan pelancong dan pelaburan boleh menyumbang 0.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun ini.

Piala Dunia mungkin dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi rata-ratanya rakyat negara itu tidak berpeluang menyaksikan kebanyakan perlawanan.

Harga tiket yang melambung tinggi dan peraturan ketat Fifa terhadap penjualan semula tiket di tambah pula dengan penyingkiran beberapa pasukan terkemuka menyebabkan beberapa keping foto menunjukkan terdapat tempat duduk kosong bukan saja di Johannesburg tetapi di Cape Town dan Durban.

Seorang penyambut tetamu di Hotel Hilton, Shoro Mazuti masih belum dapat menyaksikan sebarang perlawanan secara langsung tetapi ia tidak menghalangnya untuk menyokong pasukan kegemarannya, Belanda.

"Saya tidak mampu membeli tiket tetapi berpeluang menyaksikan kebanyakan perlawanan di kawasan tontonan umum.

"Saya menyokong Belanda kerana mereka tinggal di hotel tempat saya bekerja," katanya.

Secara rasminya, tiket aksi final Piala Dunia di Stadium Soccer City yang mampu menampung 90,000 kapasiti penonton telah habis dijual.

Namun di Internet, anda akan menemui tiket pasaran gelap bernilai mencecah AS3,000 dolar (RM9591).

Pertambahan aktiviti secara talian akan mula dilihat dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan peminat bola sepak mempunyai peluang terakhir untuk mendapatkan tiket perlawanan final.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka akan kecewa.

Fifa mengeluarkan amaran ketat mengenai bahaya tiket palsu dan memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak tertipu sama ada ketika membeli tiket melalui kaunter ataupun dalam talian.

Ribuan penyokong pasukan Brazil dan Argentina yang tersingkir pada pusingan suku akhir mahu menjual tiket perlawanan final yang sudah dibeli.

Namun, penjualan tiket secara haram adalah salah disisi undang-undang negara itu dan jika anda berhasrat untuk menjual tiket yang tidak diingini diluar stadium, anda akan ditangkap.

Walaupun The Bafana Bafana gagal menempah tiket ke kelompok 16 terakhir, kebanyakan rakyat Afrika Selatan menyifatkan pasukan itu mencatat persembahan menakjubkan pada Piala Dunia.

"Afrika membuktikan mereka berupaya menganjurkan perlawanan berprestij dunia itu," kata sukarelawan sambilan Castrol di Piala Dunia, Refilwe Mathe.

"Sebagai sebuah negara, kami begitu realistik, kami tahu dan percaya kami tidak akan melepasi pusingan seterusnya. Namun ia tidak menghalang kami memberi sokongan kepada pasukan lain," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan