Joe Cole & Ballack Bukan Lagi Pemain Chelsea

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CHELSEA hari ini mengesahkan mereka telah membuat keputusan untuk melepaskan bintang tengah England Joe Cole dan kapten Jerman, Michael Ballack hujung bulan ini bila kontrak kedua-dua pemain itu tamat.

Kedua-duanya gagal mencapai persetujuan berkaitan sambungan kontrak dengan kelab berkenaan.

Cole, sekarang ini bersama skuad Piala Dunia England di Afrika Selatan, menyertai Chelsea dari West Ham dengan harga perpindahan £6.6 juta pada tahun 2003 dan telah bermain lebih 200 perlawanan.

Bagaimanapun Cole hanya sempat beraksi dalam beberapa perlawanan sahaja musim ini selepas mengalami kecederaan pada pusingan ketiga Piala FA pada awal 2009.

Cole khabarnya mahukan gaji sebanyak £100,000 seminggu dalam kontrak barunya tetapi Chelsea hanya bersedia mengekalkannya jika dia bersetuju untuk menerima £80,000 seminggu iaitu gaji yang diperolehinya buat masa ini.

Tottenham Hotspur adalah satu-satunya kelab yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu.

Sementara itu, sepertimana Cole, Ballack juga berhadapan dengan isu kebuntuan kontrak yang gagal dipersetujui oleh Chelsea.

Ballack mahukan kontraknya diperbaharui untuk tempoh dua tahun lagi sementara Chelsea hanya berminat untuk menambah setahun sahaja.

Pemain Jerman berusia 33 tahun itu yang menyertai Chelsea dari Bayern Munich pada tahun 2006, kini menerima gaji mingguan sebanyak £121,000.

Dan pengurusan kelab tidak bersedia untuk membayar jumlah sebanyak itu kepada pemain yang berusia 33 tahun selama 24 bulan lagi.

Schalke 04, kelab Jerman yang berjaya melayakkan diri beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan kini dikatakan berminat mendapatkan khidmat Ballack.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan