Demam Bola Sepak Piala Dunia Ala Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menjelang tiupan wisel pemula Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jumaat ini, Malaysia sudahpun terkena kehangatannya sejak dua bulan lepas.

Tidak kira sama ada di kampung mahupun di bandar, di sekolah atau di pejabat, bual bicara mengenai ketangkasan pemain atau kekuatan pasukan yang bertanding sentiasa kedengaran di mana sahaja.

Di ibu negara, kedai makan, restoran dan pusat hiburan di sekitar ibu kota sudah lebih sebulan memulakan kempen tersendiri menyambut ketibaan musim Piala Dunia kali ini.

"Sebelum ini pun saya sudah sediakan layar di gerai saya ini. Masa itu ramai pelanggan datang untuk saksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris.

"Untuk Piala Dunia 2010 ini, saya jangkakan sambutan lebih hebat lagi," kata Marzuki Hashim, peniaga makanan di kawasan Pantai Dalam di sini.

Di sekitar kawasan tarikan pelancong asing di Jalan P. Ramlee dan Bukit Bintang, kebanyakan pusat hiburan di situ juga meraikan kemeriahan pesta bola sepak antarabangsa itu.

Ada yang menghiasi premis mereka dengan bendera 10 pasukan bola sepak terbaik dunia dan ada juga yang meletakkan replika gergasi Piala Dunia di hadapan premis mereka.

Apabila bercakap mengenai Piala Dunia, pemakaian jersi mengikut pasukan kegemaran dianggap sebagai suatu kemestian kepada setiap peminat bola sepak.

Seorang peminat tempatan, Mohd Azhar Latif, berkata bahawa untuk kempen Piala Dunia ini, beliau memilih Brazil sebagai pasukan pilihan kerana skil pemainnya.

"Bagaimanapun, saya tetap menyokong pasukan kita, Malaysia, walaupun kita tidak layak ke Piala Dunia," katanya.

Seorang peniaga jersi yang enggan nama dikenali, berkata permintaan terhadap jersi-jersi pasukan bola sepak yang bertanding mula mendapat sambutan sejak dua bulan lepas.

"Kalau diikutkan, pada kebiasaannya orang ramai akan mula ghairah membeli jersi pasukan kegemaran masing-masing bila sudah sampai ke peringkat suku akhir perlawanan," katanya.

Pengaruh teknologi maklumat juga digunakan oleh peniaga untuk menjual barangan mereka melalui Facebook dan juga blog persendirian.

"Saya menjual jersi ini secara sambilan sahaja. Tidak sangka juga jersi-jersi yang saya iklankan dalam laman Facebook saya mendapat sambutan yang di luar jangkaan," kata Rosli Ahmad.

Katanya semua jersi itu adalah buatan Thailand dan China.

"Saya menjualnya dengan harga yang berpatutan dengan mengambil kira kos penghantaran. Bagi jersi yang bernombor pemain, saya jual dengan harga RM80 dan yang tidak bernombor pula RM60," kata Rosli.

Dalam suasana keghairahan menantikan sepak mula perlawanan Piala Dunia pada 11 Jun ini antara tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico, tidak kurang juga peminat mencari koleksi khas Piala Dunia 2010.

Beberapa pusat beli belah terkemuka di negara ini juga tidak ketinggalan. Gedung hypermarket Giant, pengedar berlesen cendera hati Piala Dunia di Malaysia, menawarkan rantai kunci, pin, payung, kemeja-T, topi, pelekat magnet dan maskot rasmi Piala Dunia 2010, Zakumi, di semua cawangannya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Digi dan Tune Talk pula menawarkan pakej-pakej istimewa, peraduan dan kad tambah nilai edisi terhad kepada pelanggan mereka.

- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan