Kedah Mahu KFA Wujudkan Perniagaan Sendiri - Bola Sepak | mStar

Kedah Mahu KFA Wujudkan Perniagaan Sendiri

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan membantu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjalankan perniagaan bagi membolehkan persatuan itu mempunyai pendapatan sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain untuk mendapatkan sumber kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan negeri Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata langkah itu perlu kerana KFA tidak boleh mengharapkan penajaan dan kutipan tiket perlawanan yang tidak menentu.

Ketika ini KFA menerima tajaan RM3 juta setahun daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) tetapi persatuan memerlukan antara RM5 juta dan RM6 juta untuk membiayai banyak pasukan terutama pasukan Liga Malaysia, pasukan Piala Presiden dan akademi, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Kita mungkin bantu mereka dalam sektor perladangan. Mungkin KFA juga bolah adakan bas persiaran kerana pelancongan di Kedah ketika ini amat baik selain boleh menjimatkan kos perjalanan pasukan," katanya.

Beliau sebelum itu meraikan pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) yang muncul juara kejohanan Manchester United Premier Cup peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Katanya beliau juga tidak mahu KFA menanggung hutang kerana kegagalan membayar gaji pemain selain perbelanjaan yang lain apabila terlalu bergantung kepada penajaan dan kutipan tiket perlawanan.

Menyentuh isu berbeza, Hamdan berhasrat mengemukakan cadangan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar yuran perpindahan pemain-pemain tidak hanya dihadkan kepada pemain berusia bawah 21 tahun.

"Kalau ikut peraturan sekarang yuran perpindahan hanya untuk pemain bawah umur 21 tahun. Kita akan minta kepada FAM supaya ia turut melibatkan pemain-pemain yang telah lama beraksi untuk sesuatu pasukan.

"Bagaimanapun, yuran itu kenalah munasabah mengikut keadaan di Malaysia...jangan ikut harga di liga bola sepak Eropah. Kita kena praktikal dan ikut nilai Malaysia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Hamdan berkata beliau hairan dengan aksi Kedah dalam saingan Liga Super Kedah musim ini yang sering kali tewas pada saat-saat akhir walaupun beraksi baik sepanjang perlawanan.

Beliau bagaimanapun meminta pemain dan mereka yang berkenaan agar menolak dakwaan bahawa keadaan itu disebabkan pemain kena santau atau stadium berhantu sebaliknya mungkin disebabkan kecederaan ramai pemain utama.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan