'Kuasa Tambahan' Jika Selangor Ada Pemain Import

Diterbitkan: Selasa, 27 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad Selangor akan mendapat 'kuasa tambahan' jika mempunyai pemain-pemain import dalam saingan Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) yang sedang berlangsung sekarang.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menganggap ketiadaan pemain-pemain import telah memberi kesan kepada pasukan 'The Red Giants' itu.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada pasukan namun keputusan (mengharamkan penggunaan pemain import) adalah majoriti yang telah dibuat sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan antara Selangor dan kelab Indonesia, Srivijaya FC di Wisma FAS, hari ini.

Bekas ketua jurulatih skuad Kedah, Azraii Khor Abdullah sebelum ini pernah menzahirkan nada yang sama bahawa dengan ketiadaan pemain import, menyukarkan Kedah mengharungi Piala AFC tahun lalu.

Hamidin berkata, dengan barisan pemain yang ada, Selangor telah cuba untuk memberikan aksi yang terbaik dan keputusan itulah yang telah mereka dapat.

"Namun ketiadaan pemain import bukanlah satu sahaja sebab Selangor tewas dengan jaringan besar sebelum ini kepada Srivijaya FC (6-1) dan kelab Vietnam, Becamex Binh Duong FC (4-0)," katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Selangor layak ke Piala AFC adalah pada 2006 setelah menggondol tiga piala dalam Liga Malaysia pada 2005 dengan bantuan dua pemain dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy serta pemain Argentina, Brian Fruntes.

"Pada tahun 2006, Selangor berjaya layak sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada kelab Lebonan, Al-Nejmeh dengan agregat 1-0," katanya.

Isu pemain import kembali menjadi persoalan hangat setelah Selangor tersingkir awal dan gagal memberikan saingan pada Piala AFC musim ini dengan hanya mampu mencatatkan satu kemenangan daripada lima perlawanan yang diharungi.

Jentera serangan Selangor yang diketuai bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee Sali sekadar mengegar jaring lawan sebanyak tujuh kali berbanding yang meledak gol sebanyak 12 kali.

FAM pada 2009 mengharamkan penggunaan pemain import di dalam saingan Liga Malaysia sekaligus turut memberi kesan kepada pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Piala AFC.

Selangor yang merupakan pendahulu Liga Super ketika ini akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan F menentang Srivijaya FC di Stadium Shah Alam malam esok tanpa khidmat ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah dan tonggak pertahanan, Khairul Anuar Baharom.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan