EPL: Buruan Juara Kini Kembali Terbuka

Diterbitkan: Ahad, 18 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAHANG kehangatan buruan gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin dirasai antara dua kelab gergasi England iaitu Chelsea dan Manchester United.

Berbekalkan baki dengan hanya tiga perlawanan yang perlu diharungi, United mahupun Chelsea tidak boleh alpa. Kedua-duanya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lagi.

Kedua-dua pasukan kini boleh dikatakan mempunyai peluang yang sama rata untuk merebut trofi liga musim ini.

Selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Blackburn Rovers, dua minggu lalu, Ferguson menurunkan penyerang Wayne Rooney yang baru pulih daripada kecederaan. Tetapi ternyata sekali pergerakan Rooney amat terbatas mungkin kerana kesan sampingan ekoran kecederaan buku lali yang dialaminya itu.

Bagaimanapun, kelibat kuda tua berusia 35 tahun, Paul Scholes yang sebaliknya mencetuskan tonik buat United dengan menjaringkan gol tunggal dramatik di saat pasukan itu memerlukan tiga mata penuh di Eastlands.

Jaringan Scholes itu membolehkan United merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Chelsea dengan hanya satu mata.

Malah pengurus United, Sir Alex Ferguson menyifatkan komitmen dan semangat enggan mengaku kalah pasukannya datang daripada tiga kuda tua iaitu kapten pasukan Gary Neville yang berusia 33 tahun dan juga Ryan Giggs, seorang lagi kuda tua yang berusia 36 tahun.

Kata Ferguson, merekalah yang meniupkan semangat juang kepada pemain-pemain muda dengan semangat tidak mahu mengaku kalah sehingga wisel penamat berbunyi.

Dalam pada itu, pasukan kendalian Carlo Ancelotti pula terpaksa pulang dalam keadaan hampa apabila tewas 1-2 kepada Tottenham Hotpsur di White Hart Lane, semalam.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Chelsea terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain apabila kapten pasukan, John Terry dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain kebangsaan Wales, Gareth Bale pada minit ke-67.

Walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Bolton Wanderers pada Selasa lalu, The Blues gagal menyekat kemaraan pasukan tuan rumah yang beraksi cemerlang di gelanggang sendiri.

Malah Spurs sepatutnya menang dengan jumlah gol yang lebih besar jika tidak kerana kegagalan penyerang Rusia Roman Pavlyuchenko menyudahkan beberapa percubaan terbuka di depan gawang lawan.

Begitu juga dengan Gareth Bale yang terlepas beberapa peluang keemasan malah satu percubaannya hanya tersasar sedikit sahaja dari tiang gol.

Bagaimanapun kemenangan itu membolehkan Spurs memintas Manchester City dengan kelebihan dua mata untuk menduduki tempat keempat yang menjanjikan tiket terakhir ke saingan Liga Juara-juara Eropah pada musim depan.

Pasukan kendalian Harry Redknapp itu mempamerkan aksi konsisten pada musim ini apabila berjaya menewaskan tiga kelab besar iaitu Arsenal, Chelsea dan Liverpool.

Laluan Chelsea kini lebih sukar kerana pasukan itu terpaksa menentang satu lagi kelab besar iaitu Liverpool, awal bulan depan yang juga kelihatan begitu terdesak untuk memenangi baki empat perlawanan akhir jika mahu terus beraksi dalam kejuaraan Eropah musim depan.

Chelsea juga akan menentang Stock City dan Wigan Athletic yang pernah mencatatkan kemenangan mengejut 3-1 dalam pertemuan terdahulu.

United terlebih dahulu menerima ujian awal berbanding Chelsea apabila akan melayan kunjungan Spurs yang kini sedang menacak naik melalui persembahan berprestasi tinggi.

Tetapi United mempunyai sedikit kelebihan kerana perlawanan itu akan berlangsung di Old Trafford pada Sabtu depan sebelum bertemu Sunderland dan Stoke City pada perlawanan penutup tirai kempen EPL musim ini.

Keputusan tiga perlawanan akhir ini akan menentukan pasukan mana yang akan dinobatkan selaku juara. Adakah United mampu mempertahankan kejuaraannya buat kali keempat berturut-turut sekaligus mencatat sejarah sebagai pasukan pertama berbuat demikian dalam era moden EPL atau Chelsea berupaya menamatkan kemarau kejuaraan liga yang pernah dimenangi pada musim 2005/2006 ketika dibawah pimpinan bekas pengurus Jose Mourinho?

Segalanya bergantung kepada siapakah yang mampu menahan tekanan dan pada masa yang sama mengekalkan prestasi tinggi. Tetapi siapa sangka United hanya sekadar seri dengan Blackburn dan Chelsea pula kecundang di tangan Spurs.

Semakin hampir penutup kejuaraan liga semakin berdebar-debar dada kita semua...

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan