FAM Yakin Harimau Muda Mampu Beraksi Cemerlang

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin pasukan Harimau Muda A mampu beraksi dengan baik dalam Liga Divisyen Satu Bawah 21 Slovakia mulai 27 Februari ini, hasil latihan teratur dan tersusun yang dilakukan sebelum ini.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata pasukan itu terdiri daripada pemain-pemain yang berkualiti dan mampu bersaing dengan pemain dari Eropah walaupun mereka mempunyai saiz badan yang lebih kecil.

"Ini julung kalinya FAM membuat program sebegini dan ia diharap dapat memberi peluang kepada pemain-pemain untuk menimba ilmu bola sepak dengan lebih sempurna di negara berkenaan.

"Walaupun hanya bermain dengan pemain bola sepak peringkat belia di Slovakia, namun ia diharap dapat memberikan suntikan kepada pasukan Harimau A, ditambah lagi negara itu mempunyai pasukan yang mampu memasuki peringkat akhir Piala Dunia," katanya.

Selain itu, beliau berharap pegawai-pegawai pasukan yang mengiringi pemain Harimau Muda A juga dapat menimba ilmu dan pengalaman untuk dicurahkan kepada kepada pemain bola sepak negara apabila kembali kelak.

Pemain pasukan Harimau Muda A dijangka akan bertolak ke Slovakia pada pertengahan Februari ini untuk menyesuaikan diri, sebelum menghadapi perlawanan pertama dan dijangka akan berada di sana sehingga penghujung Mei.

Che Mat yang juga Pengerusi Pertandingan FAM berkata selain mengikuti liga di Slovakia, FAM juga telah mengatur beberapa pertandingan persahabatan di luar negara untuk pasukan Harimau Muda A sepanjang tahun ini.

Tanpa menyebut negara-negara berkenaan, Che Mat berkata pertandingan persahabatan tersebut bertujuan untuk mendedahkan pemain-pemain di tahap lebih tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan