Skuad Liga Super Johor Ubah Strategi Untuk Lebih Menyerang - Bola Sepak | mStar

Skuad Liga Super Johor Ubah Strategi Untuk Lebih Menyerang

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Sehari selepas dinamakan sebagai jurulatih baru pasukan Liga Super Johor, Edres Selamat bertekad memastikan pasukannya yang kini menduduki tangga tercorot terus kekal di dalam saingan Liga Super untuk tahun depan.

Beliau yang sebelum ini merupakan ketua panel kejurulatihan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, untuk kekal di dalam saingan Liga Super tahun depan, pasukan Johor perlu mula menang di dalam perlawanannya.

"Kita akan membuat beberapa perubahan termasuk di dalam taktik pasukan. Jikalau dulu kita menggunakan formasi 4-5-1, tetapi kini pasukan perlu lebih menyerang untuk mendapatkan gol. Kita perlu menang," katanya kepada pemberita di Padang Sri Gelam di sini, hari ini.

Katanya, untuk mencapai objektif mengubah nasib pasukan Johor yang sehingga kini gagal mencapai kemenangan selepas enam perlawanan turut memerlukan kerjasama pemain serta pegawai-pegawai pengurusan pasukan.

Edres yang juga adalah bekas pemain pasukan Johor dalam Piala Malaysia tidak lama dahulu berkata, masa masih belum terlambat di dalam usahanya untuk memperbaiki prestasi pasukan Johor kerana masih ada baki 20 perlawanan di dalam Liga Super.

Beliau diumumkan sebagai jurulatih pasukan Johor semalam bagi menggantikan Nasir Yusof atau "The Professor" yang direhatkan berikutan persembahan buruk pasukan yang menyaksikannya hanya mampu mengutip satu mata daripada enam perlawanan yang diharunginya.

Turut sama direhatkan bersama Nasir adalah dua pembantunya, Kamaruddin Ahmad dan Salehan Md Som.

Pada perlawanan terakhirnya baru-baru ini, Johor tewas 0-3 kepada pasukan T-Team walaupun bermain di tempat sendiri, selain terkeluar daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Kuala Lumpur pada pusingan pertama.

Pasukan bimbingan Edres yang turut dibantu oleh Wan Mustapha Wan Ismail sebagai penolong jurulatih akan bertandang menentang Kuala Lumpur pada 6 Mac depan, apabila saingan Liga Super disambung.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata, Johor akan mendaftarkan lima pemain baru apabila tempoh pendaftaran pemain dibuka pada Mei depan.

Katanya, kelima-lima pemain yang akan didaftarkan itu merupakan pemain-pemain yang berpengalaman bagi membantu mengemudi cabaran Johor di dalam saingan Liga Super. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan