PDRM Dan Terengganu Selesa Untuk Langkah Ke Pusingan Kedua

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Terengganu sudah hampir pasti melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah menang besar ke atas lawan masing-masing pada perlawanan pembukaan, pusingan pertama, malam semalam.

PDRM, yang beraksi dalam Liga Perdana, membelasah Johor Melodi Jaya dengan jaringan 5-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Gol PDRM dijaringkan oleh Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-21, Eddy Gapil (29), S. Harivarman (33), Khairul Izuan Abdullah (42) dan Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-90 manakala gol saguhati lawan dijaringkan oleh Moh Tuang Tong pada minit ke-75.

Terengganu turut menunjukkan taringnya apabila membelasah Universiti Sains Malaysia (USM) FC 4-1 di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.

Abdul Manaf Mamat membuka tirai jaringan seawal minit ketiga dan kemudian sekali lagi pada minit ke-37 manakala Mohd Marzuki Yusof turut menyumbang dua gol pada minit ke-56 dan 88 sementara gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Mohammad Baser pada minit ke-15.

Dua pasukan yang mara ke separuh akhir tahun lepas iaitu Perlis dan Negeri Sembilan bagaimanapun memilih jalan berliku apabila sekadar mencatatkan keputusan seri ke atas lawan masing-masing.

Perlis yang beraksi di Stadium Utama di Kangar hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Perak.

Jaringan penyerang bawah 23 tahun kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-75 pula menyelamatkan Negeri Sembilan daripada mengalami kekalahan kepada Johor FC apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Johor FC yang bermain di tempat sendiri, Stadium JCorp, Pasir Gudang membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Mohd Nurul Azlan Roya dan Eddy Helmi Abd Manan pada minit ke-67 manakala satu lagi gol pelawat dijaringkan oleh Mohd Syukor Adan pada minit ke-15.

Harimau Muda yang merupakan pasukan bawah 19 tahun kebangsaan turut mencatatkan kemenangan apabila mengejutkan KL Plus 2-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya.

KL Plus, yang beraksi dalam Liga Super, bagaimanapun membuka jaringan pada minit ke-56 menerusi S.Sumindran sebelum Gary Steven menyamakan kedudukan pada minit ke-71 dan gol kemenangan hadir menerusi A. Thamil Arasu pada minit ke-73.

Di Stadium Likas, Kedah menewaskan Sabah 2-0 dengan Azlan Ismail membuka jaringan seawal minit ke-18 permainan sebelum Saramsak Kram memastikan tiga mata penuh dengan jaringan pada minit ke-89.

Selangor dan Kelantan yang merupakan juara dan naib juara Piala FA pada musim lepas mendapat 'bye' pada pusingan pertama.

Kelab Bolasepak Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut layak ke pusingan kedua setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada 21 Jan lepas mengumumkan Kelab Sukan Bola sepak Juara Ban Hoe Leong tidak layak.

Perlawanan timbal balik pusingan pertama akan berlangsung pada Sabtu ini bagi menentukan baki 13 pasukan yang mara ke pusingan kedua. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan