Ini Pasukan Masa Depan M'sia, Kata K. Rajagobal

Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Ketua jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal menganggap pemain-pemainnya yang memenangi pingat emas bola sepak Sukan SEA ke-25, selepas kali terakhir Malaysia meraihnya 20 tahun lepas, pasukan terbaik yang akan mencorakkan semula masa depan sukan itu.

Beliau berkata dengan label pasukan bukan pilihan ketika datang ke temasya dwi-tahunan ini, Malaysia dianggap tidak mampu untuk mara lebih jauh, bukan sekadar ke final tetapi juga tidak diberikan peluang langsung untuk ke separuh akhir.

"Akhirnya, kemenangan malam semalam, menewaskan Vietnam 1-0 pada final, membuktikan segala andaian dan tohmahan itu tidak benar dan kredit kepada pemain-pemain saya yang membuktikan, mereka kini yang terbaik di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir, di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini malam tadi.

Beliau berkata selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, beliau memberitahu pemainnya ketika masa rehat,"Jika anda boleh mengikat mereka tanpa sebarang jaringan selepas 45 minit, anda boleh menang perlawanan ini, tetapi perlu cari gol pembukaan dahulu."

Beliau turut mengingatkan pemainnya agar bermain dengan aggresif atau beliau akan menukar barisan pemain bagi mendapatkan idea baru untuk menembusi gawang lawan.

"Akhirnya, mereka melakukannya. Walaupun Vietnam menjaringkan gol sendiri, tetapi dalam bola sepak, ianya dikira dan kita tetap menang," katanya yang turut memuji semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh pemainnya.

Sementara itu, ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Adha Abd Radzak berkata kedua-dua pasukan beraksi seimbang pada separuh masa pertama tetapi Malaysia mendominasi separuh masa kedua.

Jurulatih katanya memberitahu pemain semasa rehat yang beliau (Rajagobal) berkeyakinan Malaysia akan menang perlawanan ini dan pemain patut melakukannya (menang).

Kemasukan adik kembarnya, Mohamad Zaquan Adha juga membuat tempo permainan Malaysia lebih aggresif dan menekan lawan.

"Semua patut diberikan pujian. Ini kemenangan Malaysia. Kami cuma melakukan yang terbaik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan