Kelantan selesa, Negeri Sembilan menang 1-0 ke atas Terengganu

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri apabila masing-masing mencipta kemenangan pada perlawanan separuh akhir pertama saingan bola sepak Piala Malaysia malam semalam.

Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan termasuk malam ini setelah berjaya menewaskan Perlis 2-0 di stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Gol pasukan "Red Warriors" di hadapan lebih 20,000 penyokong itu dijaringkan oleh pemain sensasinya Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti dalam perlawanan yang turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jaringan kemenangan skuad Kelantan diperolehi pada minit ke-91 menerusi Mohd Rizal Fahmi.

Dengan kemenangan itu, pasukan Kelantan membawa kelebihan dua gol ke Stadium Utama, Perlis dalam perlawanan separuh akhir kedua yang akan berlangsung Sabtu ini.

Kelantan yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk menamatkan penantian selama 40 tahun pasukan itu untuk beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia sejak kali terakhir pada 1970.

Sementara itu, Negeri Sembilan yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1948 mengalahkan Terengganu dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Jaringan tunggal bagi pasukan Negeri Sembilan itu hasil tandukan kemas Mohd Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-50.

Pada minit ke-79, Hariri Mohd Safie diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan R. Krishnan setelah menerima kad kuning kedua susulan kekasaran terhadap pemain tuan rumah Hairuddin Omar.

Untuk beraksi di perlawanan pasukan Negeri Sembilan perlu cipta kemenangan pada perlawanan pusingan separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail di Terengganu pada Sabtu ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan