Selangor pasukan kedua mara ke suku akhir Piala Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor menjadi pasukan kedua mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia setelah skuad gergasi merah kuning itu berjaya mengekalkan kempen tanpa kalahnya selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Polis DiRaja Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam tadi.

Selangor yang berada dalam Kumpulan D, kini mengumpul 13 mata diikuti Kuala Muda NAZA yang mengumpul sembilan mata selepas mencatat kemenangan 31 ke atas Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Tawau, selepas lima perlawanan peringkat kumpulan.

Sementara itu, dalam kumpulan E, Kelantan yang merupakan pasukan pertama melayakan diri ke suku akhir Selasa lalu, pula tewas 1-0 kepada Kedah dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dalam tiga lagi kumpulan, pendahulupendahulu kumpulan terus memperkukuhkan kedudukan dengan mencatat kemenangan.

Dalam Kumpulan A, KL Plus mencatat kemenangan keempat selepas membelasah Melaka 4-0 untuk mengumpul 13 mata bagi menjarakkan kedudukan mata selepas pencabar terdekatnya, Perlis (10 mata) sekadar seri 1-1 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.

Dalam Kumpulan b, Negeri Sembilan terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat kemenangan kelima dengan menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Sarawak.

Negeri Sembilan kini mengumpul 15 mata berbanding pesaingnya, Terengganu (12 mata) yang turut mencatat keputusan memberangsangkan dengan membelasah Johor 4-0 di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Johor Bharu. Kumpulan C pula, Johor FC mencatat kemenangan keempat selepas membelasah UPBMyTeam 4-1, manakala pencabar terdekatnya Perak sekadar seri 1-1 menentang Kuala Lumpur. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan