Bola Sepak: Sarawak ibarat kapal "bocor" tapi belum tenggelam

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Tindakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAs) 'berehat' dari Liga Malaysia selama tiga tahun mulai musim depan merupakan langkah terbaik untuk memulihkan kedudukan kewangan persatuan daripada terus dibebani hutang sebanyak RM3 juta sejak 1995.

Setiausaha FAS Mohd Abu Bakar Marzuki berkata keputusan FAS itu adalah wajar sebelum keadaan bertambah parah walaupun ada pihak menyifatkan tindakan itu akan menjatuhkan maruah negeri serta membawa kegemilangan bola sepak Bumi Kenyalang ke era kegelapan.

"Pasukan Sarawak ibarat sebuah kapal yang bocor dan kita perlu berlabuh sekejap untuk membaiki kebocoran kerana kita sudah tahu jika kita terus berlayar, kita akan karam," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Beliau berkata FAS akan mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Isnin depan untuk memaklumkan penarikan diri Sarawak pada kejohanan anjuran FAM musim depan.

Abu Bakar berkata FAS mempunyai perancangan tersendiri dengan fokus kepada kejohanan kelab di peringkat bahagian selain tumpuan kepada Piala Sarawak.

FAS dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) mempunyai pelan pembangunan bola sepak selama lima tahun dan tumpuan utama ialah pembangunan peringkat sekolah sehinggalah remaja 18 tahun.

"Anggapan kita akan terus gantung but (kasut) bila menarik diri adalah tidak tepat kerana kita akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di peringkat bahagian dan kelab tempatan," katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata usaha memantapkan pasukan Sarawak juga akan diteruskan dan pihaknya telahpun mendapat sokongan daripada kelab bola sepak di Australia barat yang bersedia untuk memberikan peluang kepada pemain tempatan berlatih di sana.

Katanya Sarawak juga merancang untuk meneruskan perlawanan dengan pasukan pasukan dari Semenanjung mahupun Singapura sekiranya ada pelawaan persahabatan dianjurkan.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata FAS bersedia untuk memendekkan tempoh penarikan diri daripada Liga M sekiranya ada pihak yang komited sepenuhnya membantu Sarawak keluar daripada masalah tanggungan hutang ketika ini. Katanya berdasarkan kepada pengalaman lalu, pasukan Sarawak berharap pihak yang mahu membantu dan menolong FAS adalah pihak yang betul-betul serius membangunkan sukan bola sepak Sarawak.

"Bukan kita tidak mahu dibantu, kita menetapkan syarat iaitu pihak yang betulbetul serius sahaja yang kita boleh pertimbangkan kerana kita tidak mahu kes lama berulang lagi, kalau ada yang mahu bantu kita, FAS terbuka kepada semua," katanya.

Beliau menjelaskan pasukan FAS sebelum ini juga ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri melalui KPSU walaupun ada ketikanya FAS nyaris tidak dapat meneruskan kempen dalam kejohanan FAM atas faktor kekurangan modal untuk membawa pemain ke Semenanjung.

Katanya kos untuk membawa pasukan ke perlawanan luar menelan belanja sekitar RM30,000 manakala perlawanan di tempat sendiri sekitar RM10,000 untuk sekali perlawanan.

Abu Bakar berkata walaupun Sarawak pernah mencapai era kegemilangan di zaman jurulatih Alan Vest antara 1991 dan 1998 dengan semangat "Ngap Sayot", namun itu bukan perbandingan yang boleh dilakukan kepada pasukan Sarawak ketika ini.

Katanya ketika zaman tersebut pasukan Sarawak lebih 50 peratus dibintangi oleh pemain luar iaitu dari barisan pemain serangan sehinggalah kepada penjaga golnya.

"Saya yakin dan percaya pasukan Sarawak perlu berehat (dalam kejohanan nasional) dan ia bukan bererti kita mahu lari daripada masalah kerana kita sebenarnya mahu membetulkan masalah yang ada sekarang," katanya.

Menurutnya, langkah meneruskan perjuangan FAS dengan menyertai kejohanan akan datang bukanlah penyelesaian terbaik kerana ia boleh menambah lagi masalah yang sedia ada dan tidak mustahil hutang akan bertambah dari RM3 juta kepada RM5 juta.

Pasukan Sarawak kini hampir 90 peratus dibintangi pemain dari Piala Presiden beraksi dalam Kumpulan B saingan Piala Malaysia.

Daripada empat perlawanan yang lalu, pasukan itu tidak mendapat sebarang kemenangan dengan jumlah gol bolos sebanyak 20 gol dan hanya mampu menjaringkan satu gol.

Kini tinggal dua lagi perlawanan iaitu menentang pasukan Negeri Sembilan di Kuching Sabtu ini dan menentang Johor di Johor Baharu pada Selasa depan. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan